JASIN - Guru-guru diminta sentiasa menyayangi murid lebih-lebih lagi mereka adalah insan yang paling rapat selepas ibu bapa.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Chinchin, Omar Ismail berkata, selaras dengan tema Hari Guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa, guru haruslah menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan jujur.

Menurutnya, guru menjadi tunjang utama membentuk anak bangsa memandangkan sekolah menjadi rumah kedua kepada anak-anak.

“Saya nasihatkan guru-guru di sekolah ini supaya menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. “Saya tidak mahu, anak-anak di sini berasa takut dan tertekan di sekolah kerana ia melibatkan masa depan mereka,” katanya pada Sambutan Hari Guru dan Pekerja di SK Chinchin di sini.

Omar berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan di sekolah itu dalam memastikan murid selesa bersama guru mereka.

Katanya, sesi pembelajaran yang menyeronokkan, penganjuran program di luar kelas dan memberi anugerah sebagai penghargaan kepada murid antara pendekatan terbaik supaya anak-anak seronok untuk ke sekolah.

“Guru-guru yang mesra juga antara faktor dalam membantu murid lebih fokus terhadap pembelajaran di dalam kelas,” katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan juga bertujuan mengeratkan hubungan antara guru dan murid. “Sebagai guru besar, saya sangat bimbang sekiranya kes penderaan murid berlaku di sekolah ini.

“Justeru, saya minta supaya guru-guru di sini sentiasa bersikap profesional dan tidak mencampuri urusan kerja dan peribadi,” katanya.

Omar juga berharap guru-guru di SK Chinchin berkhidmat dengan cemerlang terutamanya untuk melaksanakan aspirasi Kementerian Pendidikan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

“Selain itu mereka juga hendaklah bersedia dalam kehendak TN50 (Transformasi Nasional 2050) yang mahukan generasi Y bersedia sebagai generasi yang memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara kita,” katanya.