PORT DICKSON - Kecanggihan teknologi yang pada hari ini memberikan pilihan kepada warga pendidik untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah sekali gus mendorong guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, Cikgu Nur Saadah Jafar untuk membelanjakan wang simpanan sendiri bagi membeli beberapa gajet bagi melaksanakan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah.

Guru yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Pendidikan Seni Visual (PSV) untuk murid Tahun 5 dan 6 itu mengambil inisiatif berkenaan selepas melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, awal tahun ini.

"Kebanyakan murid-murid saya berkongsi rasa seronok apabila belajar secara online dan sesi video tetapi mereka berpendapat kaedah itu akan lebih seronok jika penggunaan teknologi dapat terus digunapakai dalam proses PdPc di sekolah.

"Oleh itu, saya ambil inisiatif untuk mengeluarkan duit sendiri bagi membeli beberapa peralatan seperti projektor, ipad, Apple pencil, Mirascreen, aplikasi Goodnotes, troli dan tripod yang kesemuanya berjumlah lebih kurang RM4,000," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Cikgu Nur Saadah yang berasal dari Kuala Terengganu itu berkata, penggunaan ICT dalam proses PdPc itu dimulakan seawal hari pertama persekolahan murid tahap dua iaitu pada 4 Mac 2021 dan sambutan yang diterima daripada murid-murid sangat menggalakkan kerana rata-rata berpendapat kaedah itu menjadikan sesi pembelajaran lebih santai dan menyeronokkan.

"Saya guna peralatan ini untuk murid Tahun 5 dan 6 yang mana keseluruhannya berjumlah kira-kira 115 orang. Bahan yang dimuatkan dalam proses PdPc menggunakan ICT ini adalah seperti sifir, nota dan latihan yang terdapat dalam buku teks sekali gus membolehkan pelajar membuat latihan menggunakan ipad dan akan dipancarkan terus ke skrin untuk tontonan murid-murid di dalam kelas.

"Memandangkan saya cuma mempunyai satu ipad, murid-murid perlu bergilir-gilir untuk menggunakan gajet berkenaan dan dalam masa yang sama, saya akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dalam musim pandemik ini," katanya yang mempunyai pengalaman 11 tahun sebagai pendidik.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang menggunakan peralatan ICT dalam PdPc, Cikgu Nur Saadah berkata, tidak dinafikan ada murid-murid yang sedikit kecewa apabila tidak dapat menggunakan ipad ketika sesi PdPc kerana kekangan masa tetapi beliau akan memastikan mereka mendapat giliran untuk sesi kelas yang akan datang.

"Saya juga perlu mengangkat sendiri semua peralatan berkenaan untuk mengajar di kelas yang berbeza-beza tetapi setakat ini semuanya berjalan lancar kerana kebanyakan kelas saya terletak pada aras yang sama kecuali satu saja kelas di aras yang berbeza.

"Saya berterima kasih kepada murid-murid kerana memberikan respon yang positif atas inisiatif saya ini malah Guru Besar, Safinaz Nordin turut menyokong usaha saya ini dalam menjadikan sesi PdPc itu lebih menyeronokkan," katanya yang menjadi satu-satunya guru di sekolah berkenaan yang menggunakan ICT dalam PdPc.


Artikel menarik

Jangan terlalu ghairah kongsi maklumat anak di media sosial. Takut ada mata jahat yang memerhati

Cikgu Aben sanggup belajar bahasa Dusun kerana ingin dekati murid. Kagum dan salute!