NILAI - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila 1,868 kes direkodkan dari Januari hingga hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, jumlah berkenaan  meningkat 214 peratus berbanding 594 kes tempoh sama tahun lalu.

“Taburan kes  menunjukkan Seremban merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 1,299 kes diikuti Jempol (140), Port Dickson (122),  Kuala Pilah (101), Rembau (95), Tampin (53) dan Jelebu (58).

“Pada minggu ke-32, jumlah kes didaftarkan ialah tiga kes yang kesemuanya di daerah Jelebu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Tapak Cadangan Hospital Nilai dan Klinik Kesihatan Nilai di sini, hari ini.

Menurutnya, dua tadika iaitu Tadika Kemas Kampung Sendayan dan Tadika Perpaduan Taman Bukit Kepayang selain pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Seremban 2A dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Awfa Seremban 2 ditutup sementara berikutan terdapat murid yang dijangkiti HFMD.

Sementara itu Veerapan berkata, pihak Kementerian Kesihatan sudah meluluskan cadangan pembinaan Hospital Nilai di tanah seluas 60 ekar di Jalan Perhubungan KLIA - Sendayan (Jalan Lengkok Teknologi) berhampiran Pusat Penyelidikan Kebombaan (Puspek) Bandar Enstek, di sini.

“Diharapkan supaya pembinaan hospital ini dapat dipercepatkan dan pihak kami akan berjumpa dengan Kementerian Kesihatan dalam waktu terdekat bagi membincangkannya lebih lanjut.

“Bagi pembinaan Klinik Kesihatan Nilai yang bermula pada 15 April 2016 pula, kini sudah 66.6 peratus dan dijangka siap pada 12 November ini,” katanya.