SEREMBAN - Sebuah lagi prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban 2A di sini, ditutup sementara kerana penularan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, ini menjadikan sebanyak lima prasekolah, taska dan tadika di Seremban ditutup, manakala taska di daerah lain yang sebelum ini ditutup beroperasi seperti biasa.

"Hingga hari ini (semalam), jumlah kes dilaporkan adalah 1,853 kes, berbanding hanya 591 kes untuk tempoh sama pada 2017.

"Peningkatan ini telah mencatatkan kenaikan sebanyak 214 peratus, berbanding sebelum ini 186 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mengikut daerah sepanjang tahun ini sebanyak 1,300 kes dilaporkan di Seremban, 136 kes di Jempol, Port Dickson (122), Rembau (95), Kuala Pilah (97), Jelebu (55) dan Tampin (48).

Sehubungan dengan itu katanya, langkah pencegahan perlu diamalkan khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di tadika, taska, tabika dan pra sekolah agar dapat mencegah penularan virus HFMD ini.

Katanya, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya tidak membawa kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke tempat awam atau ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada individu lain.

"Kita juga menasihatkan kepada semua pemilik taska dan guru bertugas untuk membuat saringan di pintu masuk sekolah, tadika atau taska bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda jangkitan HFMD.

"Apa yang penting, jika ada kes di tempat tersebut, pihak sekolah perlu melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan kawalan serta pencegahan," katanya.