REMBAU – Panitia Pendidikan Seni Visual Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tanjong di sini, mengambil pendekatan proaktif menganjurkan Pameran Projek Kesenian dalam usaha memupuk sikap menghargai karya seni dalam kalangan murid.

Ketua panitianya, Siti Fairuz Mahmud berkata, projek di bawah Pendidikan Kesenian Tahun 1 dan dua penggal pertama tahun ini dilaksanakan sebagai tanda sokongan terhadap kreativiti serta karya seni murid.

Menurutnya, karya yang dihasilkan murid dipamerkan untuk ditonton kepada warga sekolah yang mana langkah ini secara tidak langsung akan dapat meningkatkan lagi semangat serta keyakinan diri mereka terhadap hasil seni masing-masing.

“Kita di peringkat panitia sememangnya berhasrat memupuk sikap menghargai hasil karya seni dan juga memberi peluang kepada murid untuk menghayati serta memahami karya seni rakan masing-masing.

“Malah, kita juga galakkan murid untuk menghasilkan apresiasi aktif dan positif dalam setiap karya seni yang dihasilkan,” katanya sempena Pameran Projek Kesenian di SK Kampung Tanjong di sini, baru-baru ini.

Sebahagian murid dan guru yang menyertai Pameran Projek Kesenian di SK Kampung Tanjong.

Sementara itu, Siti Fairuz memberitahu, program berkenaan juga dilaksanakan bagi menimbulkan rangsangan yang dapat memberi kesan positif melalui muzik yang berkaitan dengan karya seni.

“Karya seni juga mampu merangsang kreativiti murid dan juga memberi peluang kepada murid memahami cabang kerjaya seni yang mampu memberi pulangan lumayan sekiranya hasil karya mereka kreatif, cantik dan menarik," katanya.