Dengan hasrat ingin membantu murid pemulihan khas dan prasekolah yang tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), Jurulatih Utama Pemulihan Khas Kebangsaan, Roslee [email protected] sekali lagi mengadakan Bengkel Pembinaan BBM Matematik Bersama Waris.

Kali ini beliau dijemput berkongsi dengan ibu bapa dan waris murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Cikgu Roslee yang merupakan Guru Pemulihan Khas, SK Kampung Soeharto, Hulu Selangor berkata, program kali ini dihadiri 37 keluarga dan sambutan sangat menggalakkan.

"Bengkel ini bertujuan membimbing ibu bapa melaksanakan aktiviti pembelajaran di rumah bersama anak-anak dengan kaedah dan teknik yang betul.

"Kaedah pembelajaran yang saya perkenalkan ini sangat menarik minat murid istimewa ini," katanya.

Zamri Abd Aziz memberi tunjuk ajar Ahmad Zulhilmi menulis dan membaca.

Kata beliau, bengkel yang diadakan pada 29 Februari lalu itu, mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

"Ramai ibu bapa yang kecewa kerana tidak dapat hadir bengkel kali ini kerana tempat amat terhad. Disebabkan itu, pihak sekolah akan mengadakan lagi bengkel seperti ini agar dapat memberi peluang kepada lebih ramai waris murid mengikutinya," kata beliau.

Sementara itu, Guru Besar, Amir Hamzah Salleh, berkata, pihak sekolah mengadakan program tersebut setiap tahun.

"Pada tahun lalu kita buat bengkel bahasa Melayu dan tahun ini kita buat bengkel Matematik pula.

"Impak yang kami terima daripada ibu bapa amat positif, ibu bapa dapat ilmu bagaimana untuk mendidik anak-anak istimewa ini dengan teknik dan cara yang betul," jelas beliau.

Menurut Cikgu Amir Hamzah, impak daripada bengkel yang diadakan pada tahun lalu amat positif membuatkan pihak sekolah meneruskan bengkel tahun ini bagi mata pelajaran Matematik.

"Saya dapati kaedah yang Cikgu Roslee gunakan amat menarik dan memang tidak pernah ada sesiapapun yang mampu berkongsi ilmu seperti ini.

"Saya lihat komitmen ibu bapa juga amat tinggi. Bengkel seperti ini sepatutnya diutamakan oleh setiap sekolah kerana pengisiannya yang amat berfaedah," katanya.

Seorang bapa menunjuk ajar anaknya menulis dan membaca ketika menyertai Bengkel Pembinaan BBM Matematik Bersama Waris.

Malah, beliau berkata, ilmu seperti itulah yang ibu bapa perlukan untuk secara realiti mendidik anak-anak di rumah dan bukannya ilmu yang disampaikan secara teori.

Cara ajar anak pemulihan khas di rumah:

1. Ibu bapa dan anak dikehendaki melipat sehelai kertas A4 kepada 32 bahagian atau petak. Gunting dan tuliskan nombor 0-10. Diikuti 10 hingga 100 dalam nilai tambah 10.

2. Menulis nombor dan mengeja nombor berdasarkan jumlah gambar yang ditampalkan. Dalam aktiviti ini, ibu bapa akan menggunting dan menampal gambar. Anak pula mengira berapa gambar benda yang ibu bapa mereka tampalkan. Anak dikehendaki menulis jumlah benda dalam bentuk nombor dan ejaan nombor dan kemudian mewarna. Aktiviti mewarna amat menyeronokkan.

3. Kad operasi tambah

Ibu bapa akan gunting gambar untuk aktiviti tambah. Anak akan warnakan gambar yang ibu bapa mereka pilih. Selepas itu anak akan tampalkan gambar untuk operasi tambah tersebut pada kad. Ibu bapa membimbing anak dalam mencari jawapan secara tambah kemudian selepas anak faham bagaimana nak tambah, maka anak akan tuliskan jawapan. Ibu bapa akan tanda dan berikan penilaian.

4. Aktiviti menentukan waktu

Ibu bapa akan tentukan waktu dengan cara menyebut jam dan minit. Mereka akan membantu menerangkan tentang minit dan jam serta fungsi jarum pendek dan jarum panjang. Anak-anak akan lukis jarum jam dan minit berdasarkan apa yang disebut oleh ibu bapa mereka. Kaedah ini memerlukan kerjasama antara ibu bapa dan anak. Aktiviti ini mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak. Dalam aktiviti 4 ini sekali lagi ibu bapa akan menyemak jawapan anak mereka. Di sinilah mereka dapat mengesan kekuatan dan kelemahan anak mereka.

5. Kad roda padan nombor dan gambar

Aktiviti ini jelas memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa dan anak. Mereka saling membahagikan kerja menggunting bulatan roda, menggunting gambar dan menebuk lubang tengah kedua-dua kad roda. Ibu bapa akan pastikan nombor yang ditulis anak mereka betul. Setelah siap kad roda ini dah boleh dipusingkan hingga jumpa padanan nombor dan jumlah gambar mengikut nombor.

6. Kad nombor 3D ini memberikan satu lagi sentuhan minat untuk murid ini belajar tanpa jemu. Sekali lagi kerjasama ibu bapa dan anak menuntut komitmen kerjasama.

Reaksi

"Bengkel seperti ini amat menarik. Kepakaran yang dikongsikan oleh Cikgu Roslee amat berkesan. Ibu bapa memang gembira hadir ke bengkel ini kerana pengisian ilkmu yang diberikan memang kami sebagai ibu bapa dah lama mencarinya. Saya cadangkan program yang baik seperti ini sepatutnya diadakan pada awal tahun agar ibu bapa dapat laksanakan ilmu ini lebih awal. Terima kasih kepada Cikgu Roslee dan seluruh warga SK Ampang Tinggi yang telah berusaha mengadakan bengkel ini dengan menjemput Cikgu Roslee yang bagi saya amat pakar dalam bidang ini." -  Ahmad Roslan Baria, bapa murid

"Program ni membantu membuka minda ibu bapa dan guru untuk membantu murid yang berpotensi untuk lulus subjek Matematik dengan cara yang kreatif. Program juga secara tidak langsung membantu mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan murid." - Noor Idiana bt Adnan, Ketua Panitia Matematik

"Bengkel ini sebagai pendedahan kepada ibu bapa tentang kepelbagaian kaedah mengajar di rumah. Mengajar di rumah tidak semestinya dengan hanya mengadap buku dan membaca berulang-ulang tetapi dengan pembinaan bahan maujud yang menarik. Ibu bapa boleh menggunakan kad, kotak, botol dan banyak lagi sebagai merangsang pemikiran anak-anak. Bengkel ini mengajar ibu bapa menjadi lebih kreatif dan boleh disesuaikan dengan subjek lain juga." Suhana Basery, Guru Pemulihan

"Penglibatan ibu bapa dalam mendidik anak-anak di rumah adalah sangat penting. Bengkel ini memberi mereka peluang untuk menunjukkan kreativiti, di samping pembinaan bahan bersama anak mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Bengkel seumpama ini perlu dibuka untuk semua ibu bapa supaya lebih ramai mendapat manfaat." - Haslina Jamari, Guru Matematik

Seorang ibu membuat tugasan bersama anaknya ketika menyertai bengkel yang dianjurkan SK Ampang Tinggi.

Murid ini tekun menggunting gambar untuk ditampalkan pada kad dalam operasi tambah.

Ibu dan murid ini gembira dapat melakukan kerja bersama-sama.

Murid ini mewarnakan gambar mengikut waktu yang disebut bapanya.

Puteri menunjukkan tugasan yang berjaya disiapkan.

Murid ini menggunting roda untuk membuat kad.

Bapa ini membantu anaknya membuat kad roda.

Bekerjasama membuat kad roda.

Cikgu Roslee mengagihkan bahan bantu mengajar kepada setiap kumpulan.

Murid Tahun Satu, Muhammad Aisy Amsyar Abdul Basir menunjukkan kad roda yang dihasilkan.

Cikgu Roslee memberi tunjuk ajar bagaimana menggunakan kad roda.

Cikgu Roslee (baris tengah, dua dari kanan) bersama guru, murid dan ibu bapa yang menyertai Bengkel Pembinaan BBM Matematik Bersama Waris.