TAMPIN – Kelab Guru Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Tampin mengeratkan ikatan ukhuwah antara satu sama lain dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi sempena sambutan Syawal.

Pengerusinya, Fazleyaty Arifin berkata, program berkenaan pernah diadakan enam tahun lalu membabitkan penyertaan guru serta penolong guru perpaduan di Tampin.

Bagaimanapun menurutnya, program berkenaan tidak dapat dilaksanakan pada setiap tahun susulan menghadapi kekangan dari segi masa dan tanggungjawab.

“Pada tahun ini, sekali lagi kita anjurkan program kunjung-mengunjungi selama lima hari membabitkan kira-kira lapan buah rumah guru serta penolong guru yang terpilih menerima kunjungan.

“Kita harap langkah ini akan dapat mengeratkan lagi ikatan ukhuwah antara guru dan dalam masa yang sama kesefahaman guru dalam sama-sama berkongsi kemahiran mendidik modal insan negara,” katanya sempena Program Kunjungan Aidilfitri di Taman Dato Mohd Taha Gemencheh di sini, semalam.

Fazleyaty berkata, selain program berkenaan, kelab guru juga menganjurkan program bersesuaian saban tahun seperti program berbentuk kesukanan iaitu boling serta sambutan hari guru.

Menurutnya, langkah berkenaan adalah bagi memastikan ikatan silaturahim semua guru dan penolong guru di daerah berkenaan akan dapat semakin erat dan terjaga.

“Malah, program sebegini juga adalah bagi menghargai jasa serta pengorbanan guru serta penolong guru dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.