NILAI - Seramai 122 pelajar baharu Asas 1 (Tingkatan 1) kohort 7, bagi sesi kemasukan akademik 2021 Kolej Genius Insan (KGI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan Kumpulan Pertama yang akan menduduki Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dalam tempoh empat tahun ini.

Ia sekaligus melayakkan mereka untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, selaras dengan kebenaran yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Manakala seramai 14 pelajar Tahap 1 (Tingkatan 4) telah melayakkan diri untuk menyambung pembelajaran menengah di KGI.

Mereka adalah daripada 316 calon Asas 1 (Tingkatan 1), dan 44 calon Tahap 1 (Tingkatan 4) yang telah berjaya melepasi ujian kecerdasan kepintaran UKM1 dan UKM2.

Sesi pendaftaran dan taklimat telah dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting, baru-baru ini.

Pengarah KGI, Dr Hayati Ismail berkata, Kurikulum di KGI telah disusun semula untuk membolehkan pelajar Asas 1 belajar dalam satu kesinambungan (continuum), bermula dengan topik Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dalam masa empat tahun.

“Sememangnya anak-anak Genius Insan berkemampuan untuk menduduki SPM pada usia 16 tahun kerana mereka mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi iaitu IQ 130 dan ke atas,” katanya.  

Tambah beliau lagi, pihak KGI amat mendokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membangunkan pelajar yang holistik dan seimbang.

Justeru KGI sentiasa memberikan sokongan dari segi emosi, rohani dan jasmani menerusi komponen pengayaan, Ulumuddin dan kokurikulum.  

Pelajar KGI beruntung kerana berada di sekolah dalam universiti, kerana sumber yang ada dapat dimanfaatkan dari segi kepakaran tokoh-tokoh akademik dalam pelbagai bidang dan infrastruktur pengajian tinggi bertaraf dunia.  

“Harapan kami agar pihak KGI, ibu bapa, universiti, komuniti dan sektor swasta dapat menjalinkan kerjasama yang mantap sebagai quintuple helix dalam usaha membangunkan teknokrat dan ilmuan Islam, selaras dengan slogan KGI iaitu Menjana Cendekiawan Islam.  

“Buat masa ini, pelajar akan memanfaatkan waktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh KPM kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, pelajar berkenaan akan menyambung dan menghayati perjuangan dalam memartabatkan integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di KGI, selaras dengan hasrat pelaksanaan pendidikan yang dijalankan di USIM sendiri.

“Mereka akan mengenali dan merasai dengan lebih dekat di hati dengan apa yang kita cernakan dalam pendidikan pintar berbakat integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

“Sesuai dengan hasrat dan matlamat penubuhan KGI untuk menjana cendekiawan Islam yang bersandarkan kepada integrasi ilmu Naqli dan Aqli, kita sentiasa memperhalusi pelaksanaan sistem pendidikan di kolej ini.

“Penambahbaikan merupakan usaha berterusan yang dijalankan agar sistem yang ada akan lebih kemas dan mantap. Saya yakin semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka dan KGI sudah pun menyediakan program jangka masa pendek dan panjang bagi merealisasikan impian dan matlamat menjana cendekiawan Islam yang dilafazkan,” ujarnya.

Beliau berkata, konsep ilmu yang diketengahkan di USIM dan KGI meletakkan kesepaduan semua jenis ilmu moden dan berteraskan Islam sebagai satu gabungan ilmu tanpa memisahkan mereka berdasarkan kategori ilmu yang wujud pada hari ini.

“Dengan cabaran tersebut, KGI mengamalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza serta kurikulum yang dipadat, diperkaya dan dipacu mampu memenuhi keperluan murid pintar dan berbakat.

“Dengan kurikulum yang jauh kehadapan bagi memenuhi keperluan kognitif mereka, pelajar di KGI digilap dan dibangun dengan kemampuan memahami pelbagai subjek STREAM, Ulumuddin, bahasa antarabangsa, pembangunan diri dan pengayaan seperti penyelidikan seperti mana yang dilakukan oleh abang-abang mereka di peringkat ijazah sarjana muda di universiti”, ujarnya.

Artikel menarik

Pegawai kaunseling ini kongsi 5 tip untuk pelajar kekal positif hadapi peperiksaan

Dua mahasiswa harumkan UMS, raih pencapaian pada 'Talk-Show Mahasiswa Indonesia-Malaysia 2021'