SEREMBAN - Kementerian Pendidikan komited mencapai sifar keciciran dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, pihaknya  melaksanakan program basmi keciciran pelajar di seluruh negara sejak sebulan lalu. 

Katanya, untuk permulaan, kementerian memilih  satu negeri dan empat daerah  sebagai projek perintis program tersebut.

“Kita pilih sekolah di Perlis  manakala empat daerah terpilih di Langkawi, Kedah, Hulu Langat, Selangor, Simpang Renggam, Johor dan Pasir Mas, Kelantan.

“Kita mahu pastikan  tiada seorang pun tercicir sekolah. Walau seorang kita  cari dan selesaikan masalah mereka (jika ada) agar dia  kembali sekolah.

“Walaupun kadar keciciran di negara ini semakin  berkurangan, namun bagi negara maju ia diambil kira,”  katanya.

Beliau berkata demikian  dalam sidang media selepas  merasmikan Konvensyen Penglibatan Ibu Bapa dan  Komuniti kebangsaan di Institut Aminuddin Baki, semalam.

Tambahnya, banyak intervensi perlu dibuat bagi  mengatasi masalah ini dengan sokongan pelbagai  penggerak seperti NGO, jabatan kerajaan lain di peringkat daerah dan negeri.

Katanya, melalui program tersebut, mereka akan mengesan pelajar yang bermasalah serta mencari punca mengapa pelajar itu tidak hadir ke sekolah.

Katanya, keciciran berpunca daripada pelbagai  faktor lain seperti kematian ahli keluarga yang menyebabkan pelajar tibatiba tidak datang ke sekolah dan macam-macam lagi punca yang perlu dikenal pasti serta diselesaikan.