SEREMBAN - Kepakaran yang dimiliki pihak swasta dan korporat yang dapat disumbangkan dalam pembangunan sekolah mampu meningkatkan tahap pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc), dalam sesebuah sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata justeru pihaknya amat menggalakkan kerjasama dengan pihak swasta melalui inisiatif  Public Private Partnerships (PPP) dalam menyerlahkan potensi dan pembangunan pendidikan di Malaysia.

"Sumbangan boleh dibuat syarikat swasta bukan hanya dalam pembelajaran malah syarikat swasta dan pihak korporat turut boleh memberikan sumbangan mereka mengikut kepakaran masing-masing.

"Mungkin ada pemaju yang boleh bantu bina dewan, sumbang komputer atau mungkin sumbangkan kepakaran dalam aktiviti kurikulum mahupun kokurikulum seperti di sekolah ini setiap minggu ada pihak swasta datang mengajar murid kelas yoga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Seri Sendayan, di sini, hari ini.

SJKT Bandar Seri Sendayan merupakan antara sekolah Tamil terbaik dalam Malaysia kerana mempunyai reka bentuk yang moden dan dilengkapi kemudahan pembelajaran terkini .

Menurut Teo, model sekolah SJTK Bandar Seri Sendayan dapat dilaksanakan di sekolah-sekolah lain sekiranya lebih ramai pihak swasta sudi bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidikan.

"Saya difahamkan kos pembinaan sekoleh ini lebih kurang RM10,000 tetapi mereka dapat sumbangan dari pihak swasta kerana itu kalau dilihat tadi, pendekatan yang digunakan disekolah ini sangat kreatif dan berinovatif,” katanya.

SJKT Bandar Sri Sendayan yang dulunya dikenali sebagai SJKT Ladang Bukit Bertam dibina oleh syarikat hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Ini dia 60 aktiviti bermanfaat selepas UPSR

145 sekolah di Selangor tutup akibat jerebu

'Banyak kali dia minta maaf, risau jika saya tak selesa' - Cikgu ini kongsi sikap bekas muridnya