PORT DICKSON - Rasa loya, muntah dan pening kepala. Itu simptom yang dialami beberapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi, yang mendapatkan rawatan di Hospital Port Dickson (HPD) akibat keracunan racun serangga, petang semalam.

Nur Ezzadina Mohd Fadzi, 12, berkata dia terhidu bau racun berkenaan ketika sedang menjawab ujian mata pelajaran matematik dalam pra Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Sebelum ujian lagi dah ada bau racun, tapi ketika tengah menjawab soalan, bau itu semakin kuat dan busuk. Satu dewan peperiksaan berbau.

"Habis sahaja ujian, kami mula rasa pening-pening, loya dan muntah. Cikgu arahkan kami segera ke kantin untuk jalani pemeriksaan, kerana jururawat dah dipanggil ke sekolah," katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, seramai 12 murid sekolah berkenaan dikejarkan ke HPD disyaki keracunan racun serangga manakala 12 lagi dirujuk ke Klinik Kesihatan Linggi untuk mendapatkan rawatan.

Bercerita lanjut mengenai insiden itu, Nur Ezzadina berkata beliau sendiri mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

"Sekarang pun masih pening dan mual-mual lagi," katanya.

Nur Sabrina Najwa Zakaria, 12, berkata selain pening, mual dan muntah, beliau turut mengalami penglihatan kabur.

"Ini kali pertama saya alami dan selepas terhidu bau racun berkenaan, semua kawan-kawan sekelas saya mengalami pening dan sesak nafas," katanya.

Bagi R. Deshwindran, 9, yang turut mengalami simptom sama berkata ketika kejadian beliau sedang mengulang kaji subjek Pendidikan Moral di sebuah pondok berhampiran padang sekolah.

"Waktu itu saya ingat dalam pukul 12.30 tengah hari. Saya alami sesak nafas, muntah dan pening dan seterusnya di bawa ke HPD untuk rawatan," katanya.

Susulan kejadian itu, seramai tujuh pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat daripada Balai Telok Kemang dan enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera Hazmat dari Balai Seremban 2 dikerah ke lokasi kejadian, bagi melakukan kawalan dan pencegahan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata kejadian berkenaan membabitkan seramai 24 murid dan daripada jumlah itu, 12 pelajar dikejarkan ke HPD dan kesemua mangsa dilaporkan stabil.

Kes keracunan racun serangga dipercayai berpunca daripada kerja-kerja meracun sebuah kebun cili berhampiran sekolah. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Cikgu ini sanggup bergelumang selut dan menebang balak demi murid SK Ulu Lemanak (24 foto)

'Jaga hubungan dengan ALLAH dan manusia' - Muhammad Irham pelajar huffaz terbaik Selangor

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi