Klana Resort Seremban dan Sinar Harian meneruskan tradisi mengadakan majlis iftar bersama anak yatim bagi kali ke-4 dalam usaha memenuhi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Seramai 35 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Al Khausar dan  Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan ( Peyakin) diraikan dalam suasa penuh meriah seperti berada di rumah sendiri.

Bermula jam 6.30 petang, kesemua tetamu istimewa ini disambut meriah oleh kakitangan Klana Resort Seremban, disusuli dengan acara ramah mesra.

Mereka kemudiannya ditemani Pengurus Besar Klana Resort Seremban, Yazid Mustaffa dan diiringi Penolong Editor Sinar Harian Melaka/Negeri Sembilan, Nurbaya Abd Rezak untuk melayan anak yatim sambil beramah mesra.

Kesemua anak yatim ini dilayan istimewa oleh kakitangan Klana Resort dan wartawan Sinar Harian ibarat VVIP , bermula berbuka puasa sehinggalah solat Maghrib di surau Klana Resort Seremban.

Yazid berkata, pihaknya sangat komited untuk mengadakan program CSR sebegini kerana ia secara tidak langsung  memberi kegembiraan kepada insan terpilih ini.

“Kita mahu meraikan mereka dengan istimewa, jadi kita nak mereka rasa selesa dan bebas bergerak ke mana sahaja tanpa halangan

“Kegembiraan yang kita ada ini perlu dikongsi bersama, terutamanya buat mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Program yang dilaksanakan sejak 2014 ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu mereka yang memerlukan.

Selain itu, kesemua mereka turut diberi cenderahati serta senaskah al-Quran daripada Sinar Harian dan sumbangan duit raya daripada Klana Resort Seremban.