SEREMBAN - Maahad Tahfiz Al Ammar di Kompleks Yayasan Al Ammar, Kampung Kanchong, Rantau di sini, bukan sekadar memastikan penghuninya menjadi seorang huffaz, tetapi mampu memiliki kerjaya profesional suatu hari nanti.

Bagi mencapai matlamat itu, kurikulum yang ditawarkan dirangka dengan pendidikan bersepadu meliputi tempoh dua tahun pendidikan intensif hafazan dan pengajian Islam serta tiga tahun lagi International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi persediaaan O Level.

Pengerusi Yayasan Al Ammar, Arifin Marzuki berkata, maahad yang baru beroperasi awal tahun ini diwujudkan hasil cetusan idea sekumpulan usahawan, ahli korporat dan ahli akademik serta pendidikan Islam.

“Di sini, kita menekankan aspek mentauhidkan diri kepada ALLAH, peradaban yang tinggi dan pemikiran kontemporari berlandaskan al-Quran dan sunnah.

“Pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi hasil kerjasama maahad tahfiz ini dengan beberapa universiti tempatan,” katanya selepas perasmian Maahad Tahfiz Al Ammar di sini, semalam.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan perasmian maahad tahfiz berkenaan.

Turut berangkat pada majlis itu, Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al’Abidin.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, exco kerajaan negeri dan Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada majlis sama, Tuanku Muhriz berkenan menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Yayasan Al Ammar dengan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim); Universiti Sultan Azlan Shah, Perak; Universiti Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Kedah; Universiti Islam Antarabangsa Selangor; selain empat syarikat korporat iaitu Velosi (M) Sdn Berhad, MR Technology Sdn Bhd, MRA International Sdn Bhd dan Sciensterra Sdn Bhd.

Arifin berkata, pusat tahfiz dibina di kawasan seluas dua hektar itu, ditubuhkan bagi membantu anak kurang bernasib baik  mendapatkan pendidikan terbaik.

“Sebagai permulaan terdapat seramai tujuh pelajar lelaki terdiri daripada anak asnaf dan yatim piatu dengan tiga pengajar. Kita sasarkan tahfiz ini menempatkan seramai 20 pelajar.

“Persekitaran damai, kondusif dan selesa berkonsep ala resort ini unik kerana ada sumber air bawah tanah berhadapan surau dan berpotensi dipasarkan sebagai air mineral,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap kewujudan pusat tahfiz berkenaan mengubah stigma negatif masyarakat terhadap institusi tahfiz yang dilihat tidak bersistematik selain menempatkan mereka yang tidak berminat belajar.