SEREMBAN - Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan akan menguatkuasakan larangan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun untuk menyertai aktiviti mendaki di tujuh gunung utama di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Salim Aman berkata, langkah itu  diambil sebagai faktor keselamatan dan kepentingan bersama.

“Kita akan kuatkuasakan larangan di Gunung  Berembun, Gunung Datuk, Gunung Asing, Gunung Tampin, Gunung Besar Hantu dan Gunung Telapak Buruk dan Gunung Rembau.

“Bagi kita tak sesuai untuk bawa kanak-kanak bawah 12 tahun untuk mendaki di gunung ini kerana agak berbahaya dan sebagai  tindakan awal permit memasuki Hutan Simpan Kekal tidak akan dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jika larangan itu tidak diendahkan, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum
RM50,000 antau penjara tidak melebihi lima tahun.

Beliau berkata, pasukan renjer hutan akan membuat pemeriksaan secara berkala  dan jika didapati ada yang masih berdegil membawa  kanak-kanak, mereka akan diarah turun dari kawasan gunung serta-merta. 

“Jika berlaku kejadian tidak diingini melibatkan  kanak-kanak misalnya ia akan mencalarkan imej  jabatan dan kerajaan negeri, seolah-olah tiada kawalan dibuat.

“Kita memandang serius perkara ini, lebih-lebih lagi  sekarang aktviti mendaki sudah menjadi trend. Sebagai permulaan kita akan beri pendidikan terlebih dahulu,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan  mengeluarkan larangan  membawa haiwan peliharaan seperti anjing ke kawasan  pendakian.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang  ramai supaya mengelakkan  aktiviti pendakian pada musim hujan kerana lebih berisiko.