SEREMBAN - Murid kurang berkemampuan dari lima sekolah di sekitar kawasan DUN Rantau menerima sumbangan peribadi berbentuk kupon program makanan percuma bernilai RM75,000 daripada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng.

Yu Keng berkata, kupon itu diberikan kepada kira-kira 300 murid dengan setiap daripada mereka menerima sumbangan antara RM50 hingga RM150.

“Sebelum ini saya sudah melaksanakan program seperti ini di lapan sekolah di sekitar Miri. Melihat sambutan dan respon yang baik, justeru saya meneruskan program bantuan kupon makanan percuma ini di Rantau atas permintaan Penyelaras DUN PKR Rantau, Dr S Streram.

“Bantuan peribadi ini akan diteruskan selagi ada permintaan daripada pihak sekolah dan selagi saya mampu membiayainya,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan Kupon Program Makanan Percuma di Sekolah Kebangsaan (SK) Sendayan, semalam.

Hadir sama Streram dan Ahli Parlimen Lubuk Antu, Jugah Muyang.

Beliau berkata, sumbangan ikhlas itu diberikan kepada sekolah yang memerlukan bantuan.

“Sesiapa yang menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan, saya akan pergi ke sekolah tersebut dan sebarang permintaan oleh mana-mana pihak, saya akan pergi bergantung kepada keupayaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Streram berkata, beliau berharap sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar dari keluarga kurang berkemampuan serta golongan isi rumah berpendapatan rendah B40.

“Diharapkan sumbangan ini memberi bantuan kepada mereka belajar dan kekangan kewangan bukan alasan untuk tidak berjaya.

“Bantuan yang diberikan ini boleh dijadikan model dan panduan dan diharapkan selepas ini lebih ramai syarikat korporat yang lain akan melakukan sumbangan dan melaksanakan program seperti ini di Rantau,” katanya.

Sekolah yang terpilih untuk program itu ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min Kuala Sawah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kombok, SJKT Rantau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Siliau. - Bernama