NILAI - Seramai 19 murid bersama 14 tenaga pengajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bongek, Rembau mengikuti program mentor mentee, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu anjuran bersama unit bimbingan dan kaunseling sekolah terbabit dan Persatuan Pendidik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dengan kerjasama Kebajikan Kampung Bongek dan Kelab Debat Usim.

Tenaga pengajar Kokurikulum Debat Bahasa Melayu Usim, Mohd Zaini Othman berkata, program berkenaan bagi menyuntik semangat baharu kepada murid SK Bongek mencapai kecemerlangan dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), September depan.

“Menerusi perkongsian ilmu daripada Usim melibatkan pensyarah dan mahasiswa, aktiviti diaturkan sudah tentu memberi satu nilai tambah kepada mereka untuk berusaha di peringkat awal sebelum menempuh peperiksaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Bongek, Hamidah Othman berkata, program mentor mentee berkenaan sangat membantu dalam membimbing murid.

"Secara tidak langsung kita dapat mengenal pasti potensi pelajar, selain turut menanam keyakinan diri mereka bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR nanti," katanya.

Sepanjang program berlangsung, peserta diberi pelbagai pendedahan; antaranya kemahiran pengucapan awam pelajar debat Bahasa Melayu; eksperimen sains dikendalikan Pusat Tamhidi dan perkongsian ilmu falak serta cerapan bintang malam bersama Kelab Astronomi Fiqh (Astrofiqh).