SEREMBAN - Seorang ibu bersama dua anaknya nyaris rentung apabila kenderaan  jenis Peugeot 308 dinaiki terbakar di Jalan Mambau, Kampung Bemban,  semalam.

Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat  Negeri, Penolong Penguasa Bomba, Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.10 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi,  api sedang marak.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa, wanita berusia 36 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing 6 dan 11 tahun selamat.

“Mangsa yang dalam perjalanan dari Port Dickson ke  Seremban 2 dan kenderaan yang dipandunya dipercayai  terbabas sebelum terbakar.

“Namun, kesemua  mereka berjaya diselamatkan orang awam manakala kereta dinaiki terbakar 100 peratus,” katanya kepada Sinar Harian.

Faizal berkata, kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, tiga individu lain cedera dalam kemalangan berasingan di Jalan Seremban Batu 6, Lukut, semalam.

Kemalangan yang berlaku sekitar 7.48 pagi itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu Proton Waja, Perodua Viva, Proton Saga dan Toyota Estima.

Berdasarkan laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO),  Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, tiga mangsa yang cedera itu kemudiannya telah dihantar ke
Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.

Laporan tersebut kemudian disahkan oleh Pengarah  Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis.