SEREMBAN – Negeri Sembilan berada pada kedudukan kedua terbaik dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 peringkat kebangsaan dengan mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.79 meningkat 0.11 berbanding 4.90 tahun 2015.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi kenyataannya kepada media, semalam.

Mohamad berkata, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) pula dinobatkan sebagai Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik di seluruh negara, manakala Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Munawir dan Sekolah Sains Perempuan Seremban masing-masing di tempat kelima dan kelapan.

“Tahniah juga kepada sekolah aliran agama yang mencapai keputusan amat baik di mana 11 mencapai kedudukan 20 buah sekolah terbaik," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil berkata, seramai 499 atau 3.30 peratus calon SPM tahun lalu membabitkan 56 buah sekolah di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran diambil.

Daripada jumlah itu, katanya, sembilan calon memperoleh pangkat A+ dalam semua mata pelajaran diambil yang mana enam daripadanya dari TKC.

“Secara keseluruhan, seramai 15,129 calon dari 112 sekolah mengambil peperiksaan, iaitu penurunan sebanyak 531 orang berbanding 15,660 tahun sebelumnya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Rusni berkata, pencapaian calon di bandar juga meningkat sebanyak 0.11 peratus iaitu 4.76 tahun lalu berbanding 4.87 peratus pada tahun 2015.

"Begitu juga dengan pencapaian calon di luar bandar meningkat 0.11 peratus iaitu 4.84 peratus pada tahun lalu berbanding 4.95 peratus pada 2015," katanya.