LUKUT - Seramai 25 ahli Kelab Nuri Bank Rakyat menikmati pengalaman unik bermalam di Muzium Lukut, Port Dickson, sambil meneroka sejarah Kota Lukut menerusi program Nuri Night at the Museum pada 10 dan 11 November lalu.

Program itu disertai oleh pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Perdana dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah di sini.

Menurut Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, program Nuri at the Museum merupakan platform terbaik Bank Rakyat untuk meraikan ahli Kelab Nuri Bank Rakyat serta mendekati pelanggan setia bank di Negeri Sembilan.

"Ia merupakan kesinambungan program yang diadakan oleh Kelab Nuri Bank Rakyat antaranya Nuri Survivor di Sarawak, Nuri A Day at the Library di Sabah, Nuri Explorace dan Nuri Joran di Perak, Nuri Eco-Camp di Selangor, Nuri World Cup dan Choral Speaking Bank Rakyat di Kuala Lumpur serta Karnival Nuri Merdeka di seluruh negara.

"Program dua hari satu malam itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya Treasure Hunt Muzium Lukut, pengisahan sejarah Kota Lukut, demonstrasi dan teknik pembungkusan artifak muzium, membina pondok serta memasak," katanya.

Nuri Night at the Museum 20merupakan satu inisiatif Kelab Nuri Bank Rakyat dalam mendidik generasi muda untuk lebih menghargai sejarah kegemilangan dan budaya di Negeri Sembilan serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Menurut seorang peserta, Muhammad Said Izzmail Abdullah, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Perdana, program ini memberi pengalaman baharu dan berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana menganjurkan aktiviti yang bermanfaat seperti membina pondok serta bermalam di muzium bersama rakan-rakan sambil mempelajari sejarah Kota Lukut.

“Saya gembira dapat menyertai program ini kerana dapat belajar memasak dalam buluh serta mengenali rakan-rakan baharu yang berlainan sekolah,” kata seorang lagi peserta, Nur Masreina Nadhira Muhd Noh, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah.

Sempena cuti sekolah, Kelab Nuri Bank Rakyat turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk ahli Kelab Nuri Bank Rakyat di seluruh Malaysia antaranya Nuri Night at the Museum di Muzium Kota Kuala Kedah, Nuri Go Kart di Shah Alam, Nuri Night at the Museum di Muzium Negara, Nuri Sleeping with the Shark di Aquaria KLCC dan Nuri Night at the Library di Terengganu.

Mereka yang berminat menyertai ahli Kelab Nuri Bank Rakyat, boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan atau layari laman sesawang Kelab Nuri Bank Rakyat, www.kelabnuri.com.my. Penyertaan terbuka kepada mereka yang berusia tiga bulan hingga 18 tahun.