SEREMBAN - “Baliklah Ainin, ibu minta maaf jika terkasar," rayu Hasanatul Khalikah Ali, 39, kepada anak sulungnya yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, pada mulanya, dia menyangka anaknya, Nur Ainin Sufiah Mohd Adam, 17, hanya keluar ke rumah kawan.

Bagaimanapun, katanya, anaknya itu langsung tidak pulang ke rumah malah gagal dihubungi hingga kini.

Hasanatul Khalikah berkata, pada hari anaknya itu keluar dari rumah, dia ada menegurnya supaya mengemas rumah dalam nada suara yang agak tinggi.

"Selepas itu saya nampak dia keluar bawa beg tapi taklah  terfikir dia nak lari.

"Mungkin agaknya dia merajuk dengan saya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia beberapa kali cuba menghubungi Ainin termasuk menghantar mesej menerusi WhatsApp tetapi tidak dijawab.

Buntu dan bimbang memikirkan keselamatan Ainin,  Hasanatul Kalikah berkata, dia langsung bertanya tentang anaknya itu di dalam kumpulan Whatsapp sekolah.

"Kawan Ainin beritahu anak saya selamat dan kini berada di rumah ibu tirinya di Port Dickson. Paling saya risau apabila dia cakap nak pergi ke Johor.

"Saya nak cari Ainin pun tak tahu alamat rumah ibu tirinya di mana. Saya betul-betul risau  kerana dia perempuan dan berada di bawah tanggungjawab saya sebagai ibu kandung sejak ayahnya meninggal dunia Jun lalu," katanya.

Katanya, dia tidak lagi memarahi Ainin dan hanya mahukan  anaknya itu pulang dalam keadaan selamat kerana  terlalu merinduinya.

"Sebagai seorang ibu, saya  menegurnya demi kebaikan. Lagipun dia anak sulung dalam  lima beradik dan menjadi harapan saya.

"Saya mohon kepada sesiapa yang ternampak Ainin supaya hubungi 011-20701969  kerana saya terlalu risaukan keadaannya," katanya.

Dalam pada itu, Hasanatul  Khalikah berkata, satu laporan juga telah dibuat di Ibu Pejabat  Polis Daerah Seremban, kelmarin.