JEMPOL - Meningkatkan motivasi, sikap dan pengurusan emosi kepada pelajar yang juga calon peperiksaan menjadi antara tanggungjawab bersama guru, ibu bapa dan masyarakat.

Penceramah bebas, Mohd Kushairi Ismail berkata, ia berikutan semua pihak meletakkan harapan tinggi untuk melahirkan generasi seimbang di samping memiliki keperibadian unggul dan mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

“Kita sungguh teruja apabila dapat memenuhi jemputan dan berkongsi dengan calon peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM selain mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Kushairi berkata, pihaknya akan berkongsi tip, teknik dan panduan kepada peserta secara santai tetapi berimpak tinggi berdasarkan faktor keilmuan, kepakaran dan pengalaman hampir 10 tahun sebagai pendidik dan perunding motivasi.

“Siri Jelajah Motivasi ini antara projek kerjasama Madrasah Tahfiz Ibnu Razak dan Irec Training Consultancy (iTCON) yang akan mengutamakan lokasi di daerah Jempol dan Jelebu serta seluruh Negeri Sembilan bermula pada Julai sehingga Disember tahun ini.

“Bagaimanapun, kami menerima jemputan di luar Negeri Sembilan antaranya Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka bergantung kepada kesesuaian tarikh dan kekosongan tempat,” katanya.

Menurutnya, pendedahan kemahiran bagaimana mencipta laluan kerjaya akan diberikan kepada penuntut IPT berlandaskan bakat, minat dan potensi tanpa meminggirkan aspek keusahawanan yang menjadi teras kepada perkembangan ketika pengajian tinggi di dalam negara.

“Kita akan kongsi elemen 3K iaitu kualiti, kompetensi dan keberhasilan. Dengan kata lain, kami sangat mengutamakan output kepada peserta supaya pihak penganjur dapat menerima feedback yang bertepatan dengan objektif yang disasarkan.

“Sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh hubungi kami melalui aplikasi WhtasApp 013-2509628 ,” katanya.

Kushairi berkata, selain daripada program motivasi, sahsiah dan kepimpinan, pihaknya turut mengendalikan program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) kepada guru dan organisasi yang ingin mencapai objektif kerjasama dan perpaduan antara majikan dan staf melalui aspek komunikasi dan kerja berpasukan.

Sinar Harian difahamkan, Mohd Kushairi yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Selangor pada usia yang muda, pasti mempunyai mesej yang cukup bernilai tinggi demi agama, bangsa dan negara.