SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan akan memanggil 31 pengusaha pusat tahfiz yang beroperasi di negeri ini untuk memberi taklimat serta penerangan berhubung keselamatan perlu dipatuhi di kawasan mereka.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur kelmarin, sekali gus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian sama tidak berulang khususnya di negeri ini.

Beliau berkata, ciri-ciri keselamatan merupakan perkara utama perlu dipatuhi dan tidak boleh dikompromi terutama penghuni asrama.

“Ekoran kejadian yang berlaku di pusat tahfiz itu, kita berhasrat akan memanggil semua pemilik premis pusat tahfiz yang beroperasi di negeri ini untuk memberi taklimat keselamatan dan perkara perlu dipatuhi tanpa gagal.

“Kita mahu menjelaskan kepada semua pengurus bangunan agar sentiasa mementingkan soal keselamatan pelajar mereka khususnya yang tinggal di asrama.

“Soal lesen itu kita letak nombor dua, sekarang ini kita mahu mereka mempertingkatkan dan membuat penambah baikan terutamanya di kawasan penginapan pelajar agar semuanya mengikut seperti yang kita tetapkan," katanya selepas membuat pemeriksaan mengejut di Maahad Tahfiz Assofa Seremban, di sini, semalam.

Norazam bagaimanapun berkata, tindakan tegas sehingga menutup premis tersebut boleh dilakukan sekiranya pihak pengurusan gagal mematuhi setiap amaran dan notis dikeluarkan.

Sementara itu, pada pemeriksaan di Maahad Tahfiz Assofa, pihaknya mengesan beberapa kesalahan melibatkan ciri-ciri keselamatan yang dilakukan pihak pengurusan dan telah memberi teguran sebelum notis amaran dikeluarkan.

Menurutnya, di asrama lelaki dan perempuan pusat tahfiz itu terdapat beberapa masalah sistem pendawaian yang perlu dikaji semula, selain pintu kecemasan tidak boleh dibuka akibat tiada kunci dibekalkan pihak pengurusan.

Selain itu, katanya, ruang pejabat yang diubah suai menjadi tempat penginapan itu dianggap tidak sesuai untuk menempatkan 20 hingga 30 pelajar pada satu masa.

“Segala kesilapan dilakukan telah kita tegur dan notis amaran dijangka akan diserahkan Isnin ini bagi membolehkan mereka mengambil tindakan susulan.

“Sekarang ini, soal keselamatan kita perlu ambil serius tidak boleh sambil lewa kerana ini melibatkan nyawa yang tidak boleh dicari ganti.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak pengurusan pusat tahfiz di negeri ini sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi keselamatan serta kesejahteraan bersama,” katanya.