PERATUS kes pelajar ponteng di negeri ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh lima tahun dari 2014 hingga tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, peningkatan ketara terbabit berikutan penggunaan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) yang melaporkan semua isu disiplin pelajar serta Amalan Baik SSDM setiap murid.

“Sebelum ini, aplikasi ini hanya merekodkan salah laku disiplin murid tanpa mengisi Amalan Baik mereka dan bukan semua rekod disiplin dilaporkan oleh pihak sekolah kerana akan timbul persepsi imej tidak baik digambarkan kepada pihak sekolah melalui data itu.

“Berdasarkan rekod, peratus murid ponteng sekolah pada 2014 ialah 0.24 peratus dan menurun kepada 0.22 peratus (2015). Namun meningkat kepada 0.54 peratus (2016), diikuti 2.52 peratus (2017) dan 4.74 peratus (2018),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Chew Seh Yong (Lobak-PH) berhubung isu ponteng sekolah dan tindakan diambil untuk selesaikan masalah itu.

Mohamad Rafie berkata, selaras dengan tagline Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) iaitu ‘Jom Poie Nolong Sekolah’ dan melahirkan Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC), beberapa tindakan telah dirancang dan dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, antaranya adalah 'Program Jom ke Sekolah', 'Operasi Ponteng', 'Mesyuarat Permuafakatan antara JPNS' dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sesi bimbingan dan kaunseling.

“Selain itu turut diadakan Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid (PPSDM) yang memberi fokus kepada pelajar berisiko dan Amalan Guru Penyayang (AGP) yang bertujuan meningkatkan penghargaan terhadap pelajar dengan mengalu-alukan kehadiran mereka ke sekolah.

“Turut diadakan Program Ziarah Cakna 2019 antara usaha Kementerian Pendidikan iaitu lawatan ke rumah pelajar bermasalah sebagai usaha mendekati dan membantu permasalahan dihadapi,” katanya.