Pandemik Covid-19 bukan penghalang bagi guru di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk memberi komitmen dan latihan terbaik kepada pelajarnya yang akan menyertai beberapa pertandingan pidato dan bahas anjuran universiti awam secara dalam talian.

Guru Bahasa Melayu sekolah tersebut, Cikgu Helmy Alias berkata, kesungguhan dan minat tinggi ditunjukkan pelajarnya mendorong beliau lebih bersemangat untuk mencurahkan ilmu dan pengalaman dimiliki meskipun sesi latihan dilakukan secara maya.

Beliau berkata, dua pelajar Tingkatan Tiga itu akan menyertai pertandingan Pertandingan Pidato HEBAT Piala Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung pada Jumaat hingga Sabtu ini.

Selain itu, Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah anjuran Universiti Malaya (UM) yang akan diadakan pada 5 dan 6 Mac depan bertemakan bertemakan “Generasi Millenium Pemangkin Revolusi Industri 4.0”.

“Dua pelajar ini ialah Tengku Arif Sulaiman Tengku Adli dan Muhammad Mikhail Iman Mohd Fadzli, di mana mereka telah dilatih sejak berusia 13 tahun lagi dengan menyertai beberapa pertandingan termasuk Debat DeSTi anjuran USM, Pidato MPOB dan Pidato Habitat Kebangsaan.

“Namun, dalam situasi Covid yang melanda negara sejak tahun lalu, saya masih lagi bersemangat untuk menghantar penyertaan secara dalam talian walaupun mengalami sedikit kesukaran untuk menjalani latihan secara bersemuka,” katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Tambah Cikgu Helmy, semangat dan sikap tidak pernah kenal putus asa pelajarnya menjadi penguat kepadanya serta guru terlibat terutama untuk menggunakan segala peluang dimiliki bagi mengadakan sesi latihan secara maya.

“Saya akan pastikan mereka (pelajar) dapat pendedahan menyeluruh untuk hadapi pertandingan penting ini walaupun tidak dapat bersemuka kerana masing-masing tinggal di Batu Pahat, Johor dan Serdang, Selangor manakala saya berada di Negeri Sembilan.

“Latihan secara google meet menjadi medium utama untuk mengadakan sesi latihan dan saya memanfaatkan selama 1 jam 30 min pada waktu malam untuk melatih mereka dalam penulisan teks, mencari maklumat tambahan serta penyampaian pidato yang berkesan,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Cikgu Helmy menjelaskan, latihan dijalankan merangkumi asas berpidato sehingga mereka mampu tampil hebat di hadapan khalayak dengan keyakinan dan ketenangan yang mampu memukau audiens.

“Seni penulisan teks pidato ini ditambah cara dan kepelbagaian nada pemidato merupakan elemen yang sangat unik dan inilah ilmu baharu yang sentiasa saya berikan kepada mereka untuk menjadi pemidato yang hebat.

“Walaupun perlu menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan pelajar juga mempunyai kelas secara dalam talian tidak mematahkan semangat kami untuk terus berusaha kerana ilmu berpidato ini merupakan elemen tambahan dalam penulisan karangan yang matang,” katanya.

Tambah Cikgu Helmy, beliau bertuah kerana menerima kerjasama dan sokongan padu daripada pihak pentadbiran sekolah khususnya pengetua, ahli-ahli panitia Bahasa Melayu serta ibu bapa.

“Sebagai pendidik, besar harapan saya agar kedua-dua pelajar ini dapat terus memartabatkan seni berpidato dan menjadi pemimpin hebat dalam berkomunikasi suatu hari nanti kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya.