SEREMBAN - Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru yang dilaksanakan di semua peringkat sekolah di negeri ini bertujuan membantu warga sekolah termasuk guru dan murid menguruskan tekanan.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata program itu yang bermula sejak Ogos lepas mengandungi modul antaranya berkaitan pengurusan stress, kesihatan mental, gaya hidup sihat, kasih sayang dan sentuhan manusiawi, kemurungan dan pengurusan kemarahan.

Katanya program itu akan dilaksanakan oleh guru dan pengetua di setiap sekolah pada setiap bulan.

"Ini (program) kali pertama diadakan dan akan diteruskan selama setahun di semua peringkat sekolah sama ada sekolah rendah dan sekolah menengah.

"Kalau peringkat rendah kita mahu murid tahap satu ini sekurang-kurangnya telah diterapkan dengan nilai murni termasuk nilai-nilai pengurusan kemarahan dan tekanan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Profesionalisme Keguruan Dalam Konteks Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Pkharuddin turut menafikan pelaksanaan program itu disebabkan terdapat guru-guru bermasalah.

"Kita buat program ini sebab mahu pastikan guru dan pelajar terus cemerlang... Di manapun ada tekanan, saya selalu cakap dengan guru-guru kalau tiada tekanan kita tidak akan maju ke hadapan.

"Tekanan ini supaya kita belajar cari jalan untuk selesaikannya (tekanan) dengan cara yang terbaik,” katanya.

Katanya guru-guru sering diingatkan agar menguruskan tekanan kepada situasi yang lebih baik dan bukannya menjadikan tekanan sebagai faktor yang boleh merosakkan diri mereka.

Sementara itu, Aminuddin berkata jika guru gagal mengurus kesejahteraan diri dan tidak pasti tentang keunikan dan potensi diri, anak murid akan turut menerima tempiasnya.

Katanya kesejahteraan psikologi guru perlu menjadi satu aspek yang tidak boleh dipandang remeh daripada peneraju pendidikan sama ada di peringkat Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri mahupun Pejabat Pendidikan Daerah. - Bernama

Artikel Menarik:

Sistem ukuran metrik baharu akan diperkenalkan kepada murid tahun empat 2020 - Cikgu Shahril

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Semakan keputusan UPSR dan PASR, 21 November ini