SEREMBAN - Bakal guru perlu diberikan pendedahan ilmu mengajar yang tepat bagi membolehkan mereka berkhidmat dengan cemerlang dan berjaya sepanjang proses pengajaran nanti.

Itulah sebahagian objektif penganjuran Bengkel Pemantapan Pedagogi yang diadakan selama sehari pada 21 Julai lalu dan disertai 103 guru pelatih dari Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar.

Jurulatih Utama Program Pemulihan Khas Kebangsaan merangkap penceramah, Roslee [email protected] berkata, program pemulihan khas merupakan satu program yang dirancang khas oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan tugas guru pemulihan khas adalah membimbing dan mengajar murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran iaitu masalah buta huruf dan buta nombor.

“Memperkasakan program pemulihan melalui penginovasian guru pemulihan merupakan agenda utama KPM.

"Oleh itu, inovasi Peta Bingkai Superlee telah banyak membantu guru pemulihan melaksanakan proses awal kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M)," katanya.

Menurut beliau, guru pelatih IPGKRM yang akan melaksanakan latihan mengajar didedahkan dengan iklim sebenar murid pemulihan khas yang sememangnya lemah menguasai 3M.

Roslee yang dinobatkan sebagai Guru Inovasi Kebangsaan berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak pentadbir dan pensyarah IPGKRM ini amat dihargai dan secara tidak langsung dilihat sebagai satu usaha untuk melahirkan guru pemulihan khas yang berkualiti pada masa akan datang walaupun ramai tidak tahu kewujudan program pemulihan khas dan perjawatan guru pemulihan khas.

Tambahnya, guru pemulihan khas merupakan tunjang utama dalam pembentukan hala tuju sistem pendidikan negara.

"Usaha daripada guru pemulihan khas inilah yang mampu melahirkan masyarakat yang celik huruf.

“Mereka adalah warga pendidik yang amat komited dan berdaya saing serta profesional,” kata beliau yang juga Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar 1, Mersing, Johor ini lagi.

Turut hadir, penyelaras program yang juga pensyarah IPGKRM, Zaharilah Abd Kadir dan Penolong Pengarah Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Medon Amat.

Guru pelatih IPGKRM tekun menimba ilmu sepanjang Bengkel Pemantapan Pedagogi.

Bengkel membina bahan secara 'hands on'.

Bengkel membina bahan secara 'hands on'.

Guru pelatih IPGKRM tekun menimba ilmu sepanjang Bengkel Pemantapan Pedagogi.

Timbalan Pengarah IPGKRM, Azlina Ahmad semasa merasmikan majlis penutupan.

Cikgu Roslee menunjukkan cara penggunaan peta bingkai kepada peserta bengkel.

Sebahagian guru pemulihan khas Negeri Sembilan yang terlibat dalam bengkel.

Murid pemulihan dari sekolah sekitar Seremban juga terlibat dalam bengkel ini.

Guru pelatih IPGKRM bersama penceramah, pensyarah dan guru.