Ibu tunggal dan tiga anaknya berkongsi satu-satunya telefon pintar milik keluarga ketika mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Saharida Saman, 41, berkata anak-anaknya terpaksa bergilir menggunakan peranti itu untuk belajar.

Ia menyebabkan sesi pembelajaran secara maya itu sering sering terganggu jika ada pertindihan waktu pembelajaran antara satu sama lain.

Ketiga-tiga anaknya itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Simpang Durian (SKSD), Jelebu, Negeri Sembilan.

Anak sulung, Muhammad Aqil Rizqin Mohd Khidzir Ridzuan, 11, manakala anak kedua dan ketiga, Nur Zahra Qistina dan Nur Alya Qashrina, berusia tujuh tahun.

"Mujurlah anak yang bongsu, Muhammad Anas Mikhael, masih belum bersekolah. Tidaklah saya terlalu kalut dan terkejar-kejar,”katanya kepada GPS Bestari.

Katanya, bukan tidak mahu membelikan telefon lain, tetapi beliau cuba gunakan apa yang ada untuk pembelajaran mereka.

Tambahnya, untuk memudahkan proses PdPR, seawal enam pagi, beliau sudah bangun mengemas rumah, selain menyiapkan juadah minum pagi sebelum anak-anak mulakan pembelajaran.

“Saya seperti masuk sekolah juga, seawal pagi sudah bangun siapkan mereka sebelum mulakan kelas secara maya. Bermula jam 7.30 pagi sehinggalah jam 1.15 tengahari, saya setia di sisi mereka. Tapi selalunya kelas akan terus ke petang, sebab anak-anak akan mengikuti kelas KAFA pula pada sebelah petangnya.

“Membantu anak-anak memahami apa yang diajar guru, agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Selepas selesai kelas, barulah saya ke dapur untuk memasak dan menyiapkan makan tengahari pula untuk mereka,” jelasnya.

Kata Saharida, pada awalnya memang kelam kabut sedikit, namun lama-kelamaan beliau dapat menyesuaikan diri dengan keadaan pembelajaran di rumah.

Cuma, masalah utama yang tidak dapat dielakkan adalah, talian internet yang sering terganggu, ia sedikit menyukarkan proses pembelajaran di rumah.

“Saya agak tegas dengan anak-anak. Saya akan pastikan setiap anak-anak tidak terlepas dari mengikuti setiap kelas yang telah ditetapkan dalam jadual.

“Cikgupun memang bagi jadual kepada ibu bapa untuk rujukan. Ia sedikit sebanyak memudahkan kami untuk menyemak kelas apa selepas ini,” katanya.

Tambahnya, beliau juga turut memuji usaha warga guru SKSD, walaupun belajar secara maya, namun mereka sangat komited dengan tanggungjawab masing-masing sebagai pendidik.

“Belajar di rumah pun macam di dalam kelas juga, cikgu-cikgu akan mengajar mengikut giliran masing-masing. Selain menerusi telegram, anak-anak juga akan ikuti kelas menerusi Google Classroom (GM).

“Setakat ini semua berjalan dengan lancar, melainkan ada gangguan internet. Cikgu-cikgu akan mohon maaf kepada murid-murid dan ibu bapa, tidak dapat jalankan GM, sebab line internet bermasalah,” katanya.