SEREMBAN - Sakit yang dihidapi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said (Shams) di sini tidak menghalangnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi pelajaran Malaysia (STPM) pada 2018.

Nur Syahidah Adnan, 20, anak ketiga daripada empat beradik berkata beliau menghidap sakit apendiks pada semester dua dan dikesan darahnya dijangkiti kuman pada semester tiga.

Katanya, beliau redha apabila dikesan penyakit itu dan dalam masa yang sama bertekad untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Saya menjalani pembedahan membuang apendiks pada Mac 2018 di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini dan pada Jun 2018 saya dikejutkan apabila pemeriksaan doktor di hospital yang sama mengesan darah saya dijangkiti kuman. Doktor menasihatkan saya supaya mendapat rawatan segera kerana jika tidak boleh mendapat kanser darah.

"Inilah ujian yang paling getir yang saya hadapi ketika itu kerana pada masa yang sama saya akan menduduki peperiksaan STPM pada bulan November 2018. Saya dimasukkan ke wad dan banyak menghabiskan masa di hospital (HTJ) untuk mendapat rawatan. Berkat kesabaran dan sentiasa mengikuti rawatan yang diberikan, alhamdulillah… saya telah sembuh sekarang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, boleh dikira berapa hari sahaja saya hadir ke sekolah ketika itu, tetapi rakan, guru dan keluarga banyak membantunya mengikuti mata pelajaran yang tertinggal.

"Saya banyak menghubungi rakan-rakan dan guru kelas, malah guru kelas turut memberi bimbingan secara peribadi untuk mengulangkaji mata pelajaran yang tertinggal.

"Saya banyak belajar sendiri dengan mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru kelas. Selain ibu bapa saya yang banyak memberi sokongan dan dorongan, tidak lupa juga kepada rakan yang banyak memberi kerjasama dan panduan mengikuti mata pelajaran yang tertinggal," katanya.

Nur Syahidah yang berasal dari Rembau memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.34.

Beliau berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dalam bidang pendidikan.

Menurutnya beliau sekarang sedang mengajar sebagai guru Kafa di sebuah sekolah kebangsaan di Nilai. - BERNAMA