KUALA PILAH - Peralatan sekolah, kebun sayur dan buah-buahan termasuk hasil kerja murid Sekolah Kebangsaan (SK) Rembang Panas, Juasseh di sini, habis  dimusnahkan oleh monyet liar.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM), Jumang  Adha Zahari berkata, keadaan itu berlarutan dua tahun lalu namun semakin membimbangkan sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, monyet ini datang dari hutan berhampiran, yang mana  kebiasaannya 'menyerang' selepas waktu persekolahan termasuk Sabtu dan Ahad.

"Apa yang mengecewakan peralatan sekolah seperti kamera  litar tertutup (CCTV), papan tanda, kabel telefon dan bahan pembelajaran habis rosak.

"Lebih teruk , kami dihadiahkan pula najisnya (monyet) yang bersepah-sepah di dalam ruang  dewan terbuka juga persekitaran sekolah. Bayangkanlah kami terpaksa berdepan keadaan ini setiap hari khususnya untuk membersihkan najis," katanya.

Jumang Adha berkata, sejak  monyet liar terbabit mengganas, murid tidak pernah dapat merasai  hasil tanaman kebun mini mereka kerana semuanya habis musnah.

"Jadi sebagai penyelesaian kita laporkan kepada Jabatan Perlindungan  Hidupan Liar dan Taman  Negara (Perhilitan) melalui emel pada 15 Oktober lalu dan  keesokan harinya, Perhilitan telah memasang sebuah sangkar di kawasan sekolah berhampiran hutan.

“Manakala pada Ahad lalu, 22  monyet liar telah masuk perangkap  dan semalam 30 ekor lagi telah berjaya ditangkap. Syukur kaedah ini berjaya dan Perhilitan  bersetuju memasang sangkar ini sehingga masalah selesai.

“Kesemua monyet liar yang  ditangkap diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya.