KUALA PILAH - Menghargai jasa dan pengorbanan guru, Majlis Jasamu Dikenang dianjurkan di Tabika Perpaduan Tebat Kering/Bukit Temensu, di sini.

Majlis ini meraikan, Suhara Ismail, 56, yang bersara Ogos lalu, bagaimanapun majlisnya baru diadakan, baru-baru ini.

Suhara (duduk, kanan) bersama kanak-kanak dan ibu bapa serta jawatankuasa penyelaras Tabika Perpaduan Tebat Kering.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 30 tahun dalam dunia pendidikan akui gembira dapat menamatkan perkhidmatan sebagai guru dengan baik.

“Saya gembira dapat tamatkan kerjaya saya dengan cemerlang, malah saya rindu kenangan bersama pelajar dan guru yang lain.

“Selama 30 tahun, keadaan suasana persekolahan sudah sebati dengan jiwa saya sebagai pendidik. Sehingga sekarang saya masih merinduinya," katanya.

Terdahulu, sambutan itu diserikan dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi mengenang penolong guru tabika, Allahyarham Mastura Rahmat yang telah meninggal dunia pada awal Februari lalu.