BATU KIKIR - Seramai sembilan pelajar dari Persatuan Antarabangsa Toyokawa (TIA) Nagoya, Jepun mengadakan lawatan ke sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir di sini, semalam.

Kesemua pelajar terbabit sedang mengikuti program antarabangsa anjuran Persatuan Alumni Program Persahabatan Asean-Jepun Abad ke-21, Malaysia (PAMAJA).

Presiden PAMAJA Kamarun Zaman Ab Rahman berkata lawatan pelajar dari TIA ke negara ini adalah acara tahunan bagi memberi pendedahan mengenai budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum kepada palajar Jepun selain bertujuan bertukar-tukar pendapat antara pelajar.

"Pelajar dari Jepun ini ingin melihat perbandingan antara negara mereka dengan negara kita, terutama dari segi kebudayaan... Mereka datang ke sini untuk melihat sendiri apakah budaya, bahasa dan pakaian tradisional yang ada di negara kita.

"Saya yakin dengan pemilihan sekolah ini, mereka dapat melihat adat dan budaya di kawasan ini selain dapat berkongsi idea dan teknologi mereka kepada rakan-rakan sebaya di sini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam lawatan sehari itu, pelajar dari Jepun itu didedahkan dengan persembahan seni mempertahankan diri masyarakat Melayu serta dipersembahkan alunan muzik caklempong.

Selain itu, pelajar dari ‘negara matahari terbit’ itu turut diberi peluang menghadiri kelas Bahasa Inggeris dan Matematik yang berlangsung di sekolah berkenaan.- Bernama

TIP MENARIK:

Cikgu ini kongsi rahsia skor markah mengikut seksyen soalan bahasa Inggeris penulisan UPSR

Tip akhir menjelang UPSR, guru ini kongsi rahsia cemerlang dalam penulisan bahasa Melayu

Guru ini kongsi 10 panduan skor A subjek bahasa Melayu UPSR