SEREMBAN – Jumlah guru yang mendapatkan khidmat kaunseling berkaitan tekanan mencatat peningkatan di negara ini.

Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Normazwin Yahya berkata, pihaknya mempunyai hanya 326 kaunselor di seluruh negara berbanding 480,000 guru.

Menurutnya, secara purata seorang kaunselor menjaga 1,400 guru di seluruh negara berikutan kekangan jumlah kaunselor.

“Berdasarkan kajian stres dan kemurungan dijalankan tahun lalu, berlaku peningkatan sederhana tinggi dalam kalangan guru, bagaimanapun ia terkawal.

“Terdapat pelbagai faktor menyebabkan tekanan dan kemurungan berlaku, bukan kerana bebanan tugas semata-mata tetapi masalah rumah tangga, berjauhan bersama pasangan dan ragam pelajar juga antara penyumbang masalah tekanan dalam kalangan guru.

“Jadi saya nasihatkan guru, jika mereka mempunyai tekanan dan kemurungan, sila dapatkan khidmat kaunselor di mana-mana Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah dan berjumpa dengan organisasi kaunselor kita, itu sedikit sebanyak boleh membantu,” katanya selepas merasmikan Karnival Transformasi Pendidikan Orang Asli di Padang Awam Kampung Tekir Labu, di sini, semalam.

Sementara itu katanya, pihaknya berhasrat menambah bilangan kaunselor di Kementerian Pendidikan pada masa akan datang bagi membantu menangani masalah tersebut dengan lebih berkesan.