SEREMBAN - Sekolah Menengah (SM) Sains Perempuan Seremban di sini kini dikenali dengan nama baharu SM Sains Tuanku Aishah Rohani.

Nama baharu itu mengambil sempena nama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Tuanku Aishah Rohani telah berkenan membenarkan penukaran nama baharu sekolah itu pada 26 Mei 2017.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengumumkan nama baharu sekolah itu pada majlis pemasyhuran SM Sains Tuanku Aishah Rohani di sini, hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Tuanku Aishah Rohani serta dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab. Malik, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Aidie Jantan, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengetua SM Sains Tuanku Aishah Rohani Maimunah Ismail.

Sekolah Menengah Sains Perempuan Seremban atau juga dikenali sebagai 'Science Girls School' (SGS) mula memperoleh kelulusan untuk beroperasi pada 3 Ogos 2013.

SGS menggunakan tapak dan bangunan yang ditinggalkan oleh Kolej Tunku Kurshiah (TKC) kerana TKC telah memperoleh bangunan baharu di Bandar Baru Enstek.

Pada majlis itu, Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani turut berangkat melawat ke Galeri Tuanku Aishah Rohani.

Baginda berdua kemudian ke majlis santapan tengah hari sebelum berangkat pulang. - BERNAMA