TAMPIN - Sebuah blok yang dijadikan dewan dan kelas buat pelajar di Sekolah Menengah Rendah Agama (SMRA) Gemas, di sini dikhuatiri mengundang bahaya berikutan struktur silingnya sudah dimamah anai-anai.

Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Bahrom berkata, perkara yang berlaku di sekolah yang dahulunya dikenal sebagai Sekolah Rendah Agama (SRA) Rakyat Gemas itu diketahui pagi kelmarin sebelum bergegas melawat ke sekolah berkenaan pada sebelah petang.

Menurutnya, hasil lawatan mendapati sebuah blok lama yang berusia kira-kira 22 tahun sudahpun mengalami kerosakan di bahagian silingnya susulan dimamah anai-anai.

“Saya mendapat tahu bangunan ini mulai dimamah anai-anai selepas kejadian banjir besar yang berlaku di daerah ini dalam 2011. Bermula dari situ, bahagian siling terutamanya di bahagian kayu sudahpun dimamah anai-anai.

“Ada juga siling yang sudah jatuh dan kita memandang serius permasalahan ini lebih-lebih lagi ia membabitkan keselamatan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Hasan (dua, kanan) ketika meninjau keadaan siling SMRA Gemas, kelmarin.
 

Hasan berkata, sebagai langkah awal, Parlimen Tampin akan berunding dengan jawatankuasa Masjid Jamek Gemas untuk menggunakan ruangan parkir masjid bagi menempatkan kabin bagi kegunaan pelajar yang masih menggunakan kelas di blok lama berkenaan.

“Kita akan mengetengahkan permasalahan dan permohonan baik pulih sekolah yang sudah dimamah anai-anai berkenaan secepat mungkin sebab perkara ini melibatkan nyawa pelajar dan kita ingin mengurangkan risiko berlakunya perkara tidak diingini.

“Kita juga sentiasa menerima aduan daripada rakyat di parlimen ini dan akan terus turun padang ke lokasi aduan bagi melihat langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Keadaan siling yang sudah lebih tujuh tahun dimamah anai-anai.