Kuala Pilah - Bagi memberi ilmu kepada ibu bapa untuk mengajar anak mereka di rumah, Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Tinggi mengadakan Bengkel Bina Bahan Bersama Waris dan Murid Saringan Numerasi dan Literasi (Linus).

Bengkel diadakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah dirasmikan oleh wakil PPD, iaitu Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPPD), Noorhadi Jamil.

Guru Pemulihan SK Ampang Tinggi, Suhana Basery berkata, melalui bengkel itu ibu bapa mendapat pendedahan ilmu untuk menarik minat anak belajar di rumah selain menguasai cara mudah untuk anak mengecam huruf, suku kata dan perkataan.

"Kaedah ini dapat mengatasi masalah buta huruf dalam kalangan murid Linus," katanya.

Ibu bapa tekun mengajar anak-anak membina bahan bantu belajar.

Seramai 45 ibu bapa, 50 murid dan 30 Guru SK Ampang Tinggi terlibat dalam menjayakan bengkel itu.

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah motivasi keibubapaan, ceramah Inovasi Superlee dan bengkel hands-on ibu bapa serta anak-anak untuk bina bahan bantu belajar yang disampaikan Guru SK Nitar 1, Mersing, Johor, Roslee [email protected]

"Beliau merupakan jurulatih utama pemulihan khas kebangsaan," katanya.

Suhana berkata, ibu bapa dilihat sangat berminat mengajar anak mereka menggunakan kaedah yang diperkenalkan oleh Roslee melalui Inovasi Superlee.

Sementara itu, Guru Besar SK Ampang Tinggi, Amir Hamzah Salleh berkata, beliau amat teruja untuk melaksanakan program tersebut kerana banyak membantu ibu bapa secara langsung dengan anak mereka membina bahan bantu belajar yang mudah dan menjimatkan.

"Ibu bapa juga mendapat ilmu bagaimana hendak merangsang minda anak untuk minat dan aktif dalam belajar.

"Saya harap melalui bengkel ini bilangan murid Linus di sekolah ini akan berkurangan dan seterusnya dapat menjamin kecemerlangan murid secara keseluruhannya di samping kemenjadian murid dapat direalisasikan melalui program ini," katanya.

Roslee membantu ibu bapa dan murid Linus menggunakan teknik Inovasi Superlee.

Ibu bapa murid Linus yang semakin bersemangat untuk belajar.