JEMPOL - Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Raja Alias 3, menjadi sekolah pertama di Negeri Sembilan melaksanakan Program Wira Anti Rasuah dengan  kolaborasi bersama Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Program tersebut bukan sahaja dapat memberikan maklumat yang tepat kepada guru dan murid, bahkan membantu mereka membentuk sahsiah terpuji serta menyayangi diri, komuniti dan juga negara.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hairuzam Mohd [email protected] berkata, kerjasama erat ini secara tidak langsung dapat memastikan rasuah di negara ini dibanteras sepenuhnya.

Menurut beliau lagi, program tersebut harus diteruskan pada masa akan datang, memandangkan murid adalah ejen penyebar luas maklumat mengenai kesalahan rasuah.

“Program ini harus dijadikan contoh, selain turut menerapkan bahan didikan seperti pameran agar murid dan komuniti setempat dapat mengetahui dengan jelas tentang bahaya rasuah dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian penutupan program kolaborasi antara SK Felda Raja Alias 3 dan SPRM pada 17 April lalu.

Hadir sama, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Felda Raja Alias 3, Nor Azlan Abd Jalil, dan Penolong Penguasa Kanan SPRM Putrajaya, Hossen Abd Rahim.

Program yang dihadiri 190 murid Tahap Dua itu, turut diserikan dengan kehadiran maskot anti rasuah, Kapten MACC.

Menjelaskan tentang bahaya rasuah, Hossen Abd Rahim menerusi ceramahnya berkata, SPRM sentiasa memberikan penekanan terhadap kesalahan rasuah dan juga kesan buruknya kepada individu dan negara.

Katanya, setiap murid perlu memiliki nilai yang baik dalam diri, bagi membendung daripada melakukan perkara tidak baik.

Dalam majlis sama turut diadakan program Latihan dalam Perkhidmatan (LADAP) bersama 42 peserta yang terdiri daripada guru dan kakitangan sekolah.

Pengisian program adalah integriti pendidikan mengikut perspektif SPRM ini disampaikan oleh Penolong Penguasa SPRM Negeri Sembilan, Mohd Azizul Faeisal Hasan.

Peserta diberi penjelasan mengenai tindakan memerangi rasuah dan pendedahan tentang kesalahan rasuah serta kaitannya dengan sistem pendidikan, agar guru menjadi pelaksana dasar yang berintergriti.

Caption:

1.Hossen memberi penerangan bahaya rasuah kepada murid SK Felda Raja Alias 3.

2.Murid seronok mendengar penerangan mengenai kesalahan dan kesan buruk rasuah.

3.Murid teruja dapat bergambar dengan Kapten MACC.

4.Hairuzam ketika berucap merasmikan Program Wira Anti Rasuah.