REMBAU - Sekolah Kebangsaan Chengkau (SKCH), Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) mengadakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah dengan memilih tema 'Suasana Orang Kampung' bagi mengiktiraf sumbangan orang kampung dalam profesion perguruan.

Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKCH, Samiah Omar berkata, sempena sambutan itu, kesemua guru dan tetamu yang hadir mengenakan busana orang kampung seperti kain batik, kain pelekat serta berbaju Melayu.

“Bukan hanya pakaian, bahkan mereka juga dihidangkan dengan makanan orang kampung seperti pulut kuning, serunding dan lain-lain lagi.

Bagi warga Sarana PIBG sekolah, kita menyambut baik pemilihan tema ini dan persiapan sambutan diurus sepenuhnya oleh PIBG.

“Bagi pihak PIBG, sambutan ini adalah simbolik bagi menghargai jasa serta pengorbanan guru yang sanggup mengajar di kampung ini, seterusnya berjaya melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya sempena Sambutan Hari Guru di SKCH, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Guru Besarnya, Jamilah Abd Jabar serta Yang Dipertua PIBG SKCH, Yazid Abd Hamid.