SEREMBAN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za'ba telah melakar sejarah apabila muncul sebagai Johan Anugerah Pusat Sumber Sekolah (kategori sekolah menengah) peringkat Kebangsaan tahun ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan dalam Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Pengetuanya, Ramona Rosli berkata, kejayaan yang cemerlang itu adalah hasil usaha semua warga SMK Pendeta Za'ba termasuk komitmen guru-guru, PIBG, pelajar serta kerjasama yang padu dengan PKG Ampangan serta pegawai BTPNNS.

"Kemenjadian pelajar dan inovasi PSS merupakan aspek yang ditekankan oleh SMKPZ sewaktu menyertai APSSK 2018," katanya.

Guru Perpustakaan dan Media, Loqman Hakim turut berkata akan sentiasa bersama guru-guru PSS pastikan SMK Pendeta Za'ba terus cemerlang dalam pengurusan pusat sumber.

"Ini adalah untuk lebih banyak kejayaan dapat dicapai pada masa akan datang untuk memberikan impak kepada warga sekolah.

"Semoga pusat sumber sekola kami terus maju menuju ke arah Pusat Sumber Sekolah Abad ke-21!," katanya.