REMBAU – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Datuk Hj Abu Hassan Hj Sail berjaya mencatatkan pencapaian paling manis apabila diiktiraf sebagai SMKA terbaik di peringkat kebangsaan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan dan Pendidikan negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, kejayaan berkenaan adalah bukti kesungguhan semua pihak iaitu guru, pelajar, ibu bapa dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan lagi pencapaian pelajar di SMKA di negeri ini.

Menurutnya, dalam keputusan SPM 2015, SMKA Datuk Hj Abu Hassan Hj Sail berjaya mendapat tempat ketiga terbaik di peringkat kebangsaan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 2.37 dan pada keputusan SPM 2016, GPS lebih baik dicatatkan iaitu 2.15.

“Jika dalam keputusan SPM 2015, sembilan daripada 20 buah sekolah terbaik dalam keputusan SPM di negeri ini adalah datangnya dari SMKA.  Dalam keputusan SPM 2016, 11 buah SMKA berjaya disenaraikan sebagai 20 buah sekolah terbaik di negeri ini.

“Pencapaian baik ini juga telah meningkatkan lagi trend ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke SMKA dan tahun ini sahaja kita menerima lebih 9,000 permohonan ibu bapa untuk menempatkan anak mereka ke SMKA di negeri ini,” katanya ketika Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2016 di Dewan SMKA Datuk Hj Abu Hassan Hj Sail, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil dan Pengetua SMKA Datuk Hj Abu Hassan Hj Sail, Saiful Bahrin Abu.
Untuk rekod, seramai empat pelajar mendapat keputusan 11 A, tujuh pelajar mencatatkan keputusan 10A dan 12 mencatatkan keputusan 9A.