SEREMBAN - Lima sekolah diumumkan terbaik keputusan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) 2018 di Negeri Sembilan berdasarkan Purata Nilai Gred  Keseluruhan (PNGK) 4.00 melibatkan 21 buah sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin  Ghazali berkata, SMK  Mantin mendahului senarai dua tahun berturut-turut dengan PNGK 3.41  membabitkan 23 calon.

"Diikuti SMK Sheikh Hj Mohd Said (SHAMS) dengan  PNGK 3.40 (43 calon); SMKA Labu dengan PNGK 3.20 (54  calon); SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas PNGK  2.99 (29 calon) dan kelima SMK Rantau dengan PNGK 2.98  melibatkan seramai 43 calon.

“Manakala 13 pelajar termasuk  dua daripadanya dari SMKA SHAMS merupakan  pelajar cemerlang STPM 2018 dengan PNGK 4.0,” katanya, semalam.

Menurutnya, tahun ini seramai 1,378 daripada 1,394 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal iaitu 98.9 peratus berbanding 98.3 peratus pada 2017.

“Terdapat 21 mata pelajaran diambil dalam pelbagai kombinasi oleh calon di negeri ini yang  mana subjek menunjukkan peningkatan prestasi iaitu Sains Matematik naik 14.4 peratus, Fizik naik 9.5 peratus, Kesusasteraan Melayu naik 8.7 peratus, Perakaunan (7.0 peratus), Bahasa Tamil (6.7 peratus) dan Kimia naik 6.6 peratus,” katanya.

Sementara itu, di MELAKA, 23 calon memperoleh PNGK 4.00  berbanding 19 orang pada 2017.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, mereka yang cemerlang itu termasuk 1,171, calon dan daripada jumlah itu 1,160 atau 99.06 peratus lulus penuh berbanding 1,290 (99.08 peratus) pada 2017.

Menurutnya, Gred Purata Negeri mencatatkan peningkatan  0.12 mata iaitu 2.89 pada 2018, dengan jumlah 4.33 peratus berbanding 2.77 peratus, pada 2017.

"Seramai 546 calon memperolehi PNGK 3.00 dan ke atas. 

"Jumlah itu mencatatkan peningkatan 48.16 peratus berbanding 42.0 peratus pada 2017 dengan bilangan 546 calon," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, usaha mewujudkan Pusat Tingkatan 6 di setiap daerah dilihat salah satu faktor mendorong keputusan STPM meningkat.

Katanya, berdasarkan dua pusat yang diwujudkan tahun lalu  iaitu di SMK Durian Daun bagi Melaka Tengah dan SMK Tun Syed Zahiruddin di Jasin, menunjukkan 17 buah sekolah mendapat keputusan lulus penuh 100 peratus dalam peperiksaan tersebut.

DI JOHOR, seramai 82  calon merekodkan keputusan PNGK 4.00, meningkat seramai 17 orang.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan  Negeri Johor, Md Buang Saibani berkata, seramai 62 calon merupakan aliran Sastera, manakala bakinya, aliran Sains.

Menurutnya, enam buah sekolah mencatatkan bilangan  calon cemerlang paling ramai iaitu lima orang, sementara dua sekolah lagi empat orang.

"Jurang  perbandingan prestasi calon bandar dan luar bandar semakin kurang pada peperiksaan 2018 dengan 99.47 peratus lulus penuh bagi calon bandar,  manakala 99.16 peratus bagi luar bandar," katanya, semalam.