BANDAR SERI JEMPOL - Kira-kira 100 orang terdiri daripada murid dan ibu bapa memeriahkan Riang Ria Sukaneka anjuran Tabika Perpaduan Bandar Seri Jempol Dua dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Serting Utama di sini, kelmarin.

Guru tabika, Nor Azimah Yunus berkata, melalui program itu pihaknya dapat melihat bakat kanak-kanak dalam bidang sukan.

“Dalam kelas kita dapat melihat perkembangan akademik dan melalui sukaneka ini dapat melihat kemahiran lain yang ada pada mereka.

“Sekali gus dapat mendorong mereka berfikir di luar kotak selain mendidik mereka supaya saling bekerjasama, bertanggungjawab dan menanam sifat sabar,” katanya ditemui selepas program.

Turut hadir, Penolong Pegawai Perpaduan Kanan Daerah Jempol, Ruhazat Udin. Nor Azimah berkata, sokongan dan kerjasama erat antara komuniti setempat dengan tabika berkenaan diharap dapat dikekalkan.

“Kita amat memerlukan kerjasama ini supaya idea yang membina dapat dikongsi untuk kejayaan anakanak di sini,” katanya.