PORT DICKSON - Surau sekolah berperanan sebagai makmal pendidikan rohani seperti digariskan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melaksanakan teori-teori yang diajar dalam kelas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata surau sekolah juga merupakan wahana bagi warga sekolah untuk melakukan ibadah melangkaui soal kemasyarakatan, keilmuan, ekonomi dan sebagainya.

"Surau sekolah merupakan tempat bagi mengerjakan ibadah terutamanya solat berjemaah di samping dapat mengukuhkan ukhuwah Islamiah sesama warga sekolah. Selain itu ia boleh digunakan sepanjang masa oleh pelajar dan guru untuk aktiviti-aktiviti pendidikan Islam di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program Khemah Ibadah sekolah-sekolah (KISS) Peringkat Kebangsaan kali kelima Tahun 2019 di sini, semalam.

Aminuddin berkata program KISS 2019 itu amat bermakna dalam memberi input positif terhadap diri murid-murid, dan kemenjadian murid juga dapat direalisasikan dengan baik selaras syariat Islam.

"Melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan ini, saya yakin dan percaya anak-anak kebanyakannya terdiri daripada murid Tahun Enam ini dapat menimba ilmu serta meluahkan perasaan.

"Mereka juga boleh berinteraksi dan bersosial, melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti, belajar menyelesaikan masalah, membina sahsiah diri yang positif serta keyakinan diri dan memenuhi keinginan untuk meneroka," katanya.

Program KISS 2019 yang disertai 290 peserta daripada 16 kontinjen negeri seluruh Malaysia merupakan inisiatif KPM dalam memberi pendedahan kepada peserta dengan cara hidup beragama selain memberi peluang mengasah pelajar untuk menjadi pemimpin berkaliber dan seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani serta emosi. - Bernama