JEMPOL - Setahun sudah berlalu, namun kejayaan merangkul Anugerah Akademik Terbilang 2017 kategori Makmal Sains Terbilang, peringkat Negeri Sembilan masih diingati sehingga kini.

Itulah perasaan gembira yang dikongsi oleh Ketua Bidang Sains dan Matematik, Norulhuda Mohd Baharom dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting mengenai kejayaan tersebut kepada GPSBestari, semalam.

Menurut Norulhuda, kejayaan yang diraih bukanlah sesuatu yang mudah.

Banyak perkara yang dinilai sebelum diangkat sebagai penerima anugerah.

Norulhuda menerima Anugerah Akademik Terbilang 2017 kategori Makmal Sains Terbilang peringkat Negeri Sembilan dari Shamshulkahar.

"Pihak penganjur iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) telah datang menilai makmal Sains sekolah kami dan mereka menilai dari pelbagai aspek dan memenuhi kriteria yang dikehendaki.

"Kriteria dan syarat tidak dimaklumkan kepada kami, tetapi kami memastikan semua perkara wajib yang harus ada di dalam makmal disediakan. Kami juga memastikan bahawa makmal penuh dengan informasi bermaklumat dan keceriaan dititikberatkan untuk menjadikan makmal lebih ceria dan menarik," katanya.

Katanya, warga sekolah bertungkus-lumus memastikan makmal Sains berada dalam keadaan baik sebelum penilaian dilakukan.

"Kami buat semampu yang boleh.

"Walaupun tidak dimaklumkan mengenai kriteria yang dinilai, namun kami percaya, mereka menilai dari segi keadaan makmal yang kondusif, pengurusan makmal yang baik, fizikal makmal, sudut hasil murid, ciri keselamatan makmal dan ciri istimewa yang terdapat di dalam Makmal Sains," ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Faridah Sulan mengucapkan syabas, tahniah dan ucapan terima kasih atas kerja, pengorbanan, dedikasi warga sekolah sehingga berjaya merealisasikan menjadi salah satu makmal Sains yang terbilang di Negeri Sembilan.

Harapnya, penganugerahan ini dapat menjadi pemangkin kemenjadian pelajar dan seterusnya mencipta kecemerlangan.

Majlis Anugerah Akademik Terbilang 2017 peringkat Negeri Sembilan anjuran JPNS telah berlangsung pada 26 April 2017 di Klana Resort, Seremban.

Penyampaian anugerah disampaikan oleh ADUN Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli merangkap Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi ketika itu.

Anugerah bertujuan untuk meraikan kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah-sekolah di negeri Sembilan dalam aspek kurikulum.

Pelbagai kejayaan yang diterajui oleh warga pendidik di sekolah-sekolah yang cemerlang dapat menyumbang kepada peningkatan akademik di Negeri Sembilan telah ditunjukkan di dalam Majlis Anugerah Akademik Terbilang 2017.

Hal ini selaras dengan Inisiatif Sebelas Anjakan dalam PPPM 2013 hingga 2025 bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dengan mempunyai nilai moral yang tinggi.

Terdahulu, sekolah itu telah memenangi Anugerah Khas Makmal Sains peringkat Jempol dan Jelebu.

Dua pelajar menjalankan amali di makmal Biologi.

Makmal Sains berinformasi

SMK Bandar Baru Serting ditubuhkan pada 1989. Pada masa itu, kelengkapan asas untuk kegunaan amali di makmal Sains telah ada.

"Semua kelengkapan asas pada masa itu sudah ada cuma kita percaya pada masa itu masih belum ada penekanan kepada informasi bermaklumat di makmal dan penekanan pembelajaran yang berpusatkan murid," katanya.

Sekarang, makmal Sains SMK Bandar Baru Serting adalah sebuah makmal yang berinformasi.

 Hasil pelajar dipamerkan di makmal.

Setiap dinding makmal telah ditampal dengan maklumat yang bermanfaat bukan sahaja berkenaan bidang Sains malah berkaitan hal-hal yang berilmiah.

"Kami percaya keceriaan makmal terutamanya penggunaan warna-warna yang ceria memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar untuk belajar semasa proses pembelajaran dan pemudahcaraan diadakan di dalam makmal.

"Makmal ini bukan sahaja digunakan oleh pelajar untuk belajar mata pelajaran Sains, Kimia, Fizik atau Biologi malah mata pelajaran lain juga ada menggunakan makmal ini jika terdapat kekosongan penggunaan," jelasnya.

Suasana makmal Sains sekolah yang cukup kemas dan bersih.

Dalam pada itu, kesemua makmal Sains di SMK Bandar Baru Serting yang terdiri daripada tiga makmal Sains Tulen (Kimia, Fizik, Biologi) dan dua makmal Sains, boleh dikatakan lengkap dengan keperluan ciri Pembelajaran Abad 21.

Contoh kelengkapannya adalah penggunaan ICT di dalam pembelajaran, penggunaan ‘traffic-light’, ‘parking lot’ dan ‘rewart chart’. Malah keselamatan juga di beri penekanan.

Setiap makmal dilengkapi dengan panduan keselamatan di dalam makmal, mempunyai pelan lantai dan pelan kebakaran. Alat radas juga diletakkan di dalam keadaan yang tersusun dan dilabelkan untuk memudahkan pengurusannya.

Pemandangan di makmal Biologi, Fizik dan Kimia.

Guru Sains yang mahu memesan barang untuk eksperimen perlu mengisi maklumat dan bahan akan disediakan oleh pembantu makmal yang sentiasa bertindak aktif dan efisyen.

Segala maklumat difailkan secara sistematik seperti stok keluar masuk, invois, sumber kewangan, penggunaan makmal dan maklumat berkenaan pengurusan pengajaran dan pembelajaran.

Tulang belakang

Kejayaan bagi sesuatu perkara tidak akan terjadi jika tiada usaha gigih dan kerjasama pihak tertentu.

Begitu juga dengan makmal sekolah ini. Peranan penting yang dimainkan oleh sekumpulan individu itu, akhirnya membuahkan hasil.

"Individu yang memainkan peranan penting, tentulah mantan pengetua, Norazam Nayan yang merupakan pengetua pada waktu itu ketika (2014-2017).

"Dan sekarang, pengetua baru, Faridah meneruskan delegasi dengan memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada kami," katanya.

Antara guru yang menjadi tulang belakang dan mengembleng tenaga sehingga terhasilnya makmal berkenaan ialah Norazam; Faridah; Mantan Ketua Bidang Sains dan Matematik, Azizah Radzali; Ketua Panitia Sains, Norasiah Mohd Saleh dan Ketua Panitia Kimia, Khurshiah Mohd Ibrahim.

"Juga Ketua Panitia Fizik, Norfadhillah Mustaffa; Ketua Panitia Biologi, Ida Safura Zulkefly; Pembantu Makmal SMK Bandar Baru Serting dan saya sendiri," katanya.

Pasukan Bidang Sains dan Matematik SMK Bandar Baru Serting 2018.  
 

Pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh Pejabat Kesihatan Jempol ketika minggu STEM yang berlangsung pada 2 hingga 9 Mei di makmal Fizik.

 

Ibu bapa tekun mendengar penerangan hasil tugasan anak masing-masing ketika berlangsungnya minggu STEM Mei lalu.

 

Pameran perikanan oleh Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glemi Lemi, Titi Jelebu ketika minggu STEM pada Mei lalu di makmal Fizik.

 

Dinding makmal penuh dengan maklumat.