SEREMBAN - Walaupun tidak pernah menghadiri kelas tambahan di luar waktu persekolahan, Sarah Alya Khairul Azrin, 12, tetap berjaya mencatat keputusan cemerlang 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tuanku Jaafar 2 (SKTTJ 2), Senawang dekat sini, berkata, dia sentiasa konsisten mengulang kaji pelajaran selain memberi tumpuan penuh ketika berada di dalam kelas.

"Saya hanya belajar sendiri di rumah dan akan memastikan dalam sehari saya mengulang kaji satu subjek  selama satu jam setengah,"katanya ketika ditemui  pemberita selepas mengambil keputusan peperiksaan berkenaan di sini, semalam.

Bagi ibu Sarah Alya, Latifah Mohamed, 47, dia tidak  menghantar anaknya ke tuisyen luar kerana melihat sistem pendidikan yang baik  di SKTTJ 2, di mana pihak sekolah sentiasa mengadakan kelas tambahan, kem, bengkel dan memberi modul pembelajaran berkesan.

"Saya tidak memberi tekanan kepada dia sebab saya juga seorang guru jadi saya memahami kalau kita memberi tekanan kepada anak-anak akan menyebabkan mereka bertambah tertekan.

"Tugas saya memberi motivasi dan galakan kepada dia agar lebih bersemangat untuk belajar. Jadi saya nasihatkan  kepada anak saya jangan lakukan kerja pada saat akhir,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang turut hadir sewaktu pengumuman keputusan UPSR di SKTTJ 2, mengucapkan tahniah kepada semua murid dan sekolah yang mencapai keputusan terbaik di negeri ini.

"Ini suatu pencapaian yang baik. Sebanyak 10 peratus  sekolah di negeri ini mencapai lebih 90 peratus penguasaan mereka dalam  Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

"Kita maklum PPSR ini bukan kayu pengukur kita melihat berapa ‘A’ anak kita dapat, tetapi kita ingin lihat pencapaian mereka dari segi kokurikulum, sukan dan  sahsiah diri," katanya.

Aminuddin turut mengucapkan tahniah kepada dua sekolah luar bandar, SK Pilin  dan SK Peradong yang berjaya mencapai 100 peratus pencapaian dalam PPSR.

"Murid di sekolah itu tidak ramai, tetapi mereka mencapai 100 peratus dan ini  amat membanggakan,” katanya. - Bernama