SEREMBAN - Kerajaan tidak akan teragak-agak menutup terus sekolah tahfiz jika pengetua atau pemiliknya didapati bersalah melakukan gangguan seksual terhadap
pelajar mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan keji tersebut bukan sahaja mencemarkan
institusi tahfiz dan menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi itu, malah turut memburukkan imej Islam.

Beliau berkata, pengetua mahupun guru yang melakukan perbuatan keji itu juga tidak dibenarkan mengajar di sekolah tahfiz lagi. 

“Berulang kali saya tegaskan, jangan kita menggunakan nama baik institusi tahfiz untuk melakukan  perkara dilarang agama. Orang sebegini perlu diajar dan diambil tindakan tegas, bahkan sekolahnya juga perlu diberi amaran.

“Lagipun kerajaan sekarang dalam proses mengintegrasikan sekolah tahfiz supaya mengikut arus perdana. Saya tak nak proses ini tergganggu kerana adanya perbuatan keji sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada seminar  Fiqh Kewarganegaraan Dalam Naratif Malaysia Baharu di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan seorang  pengetua sebuah sekolah tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur yang ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan meneliti laporan kes itu dan jika suspek didapati bersalah tindakan menutup pusat tahfiz berkenaan akan diambil.

Selain itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa yang mahu menghantar anak belajar tahfiz supaya memilih sekolah yang diiktiraf kerajaan selain mengambil kira ciri-ciri keselamatan dan kokurikulum disediakan.

“Saya bimbang juga jika ada sekolah tahfiz yang mengajar doktrin fahaman tertentu kepada pelajar  mereka. Kita memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya juga kini dalam  proses memperkenalkan dan memperluaskan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ untuk diaplikasikan dalam urusan pentadbiran harian agensi agama Islam di negara ini.

Mujahid berkata, pengenalan konsep itu bagi memperlihatkan  pentadbiran Islam sentiasa membawa kebaikan dan kesejahteraan termasuk hubungan dengan bukan Islam.

“Sebelum ini kita telah jelaskan maksudnya secara falsafah dan sekarang  bagaimana nak terapkan dalam konsep pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 300 peserta  hadir ke seminar berkenaan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.