NILAI - Seni budaya merupakan salah satu bidang pilihan belia untuk menjadikannya sebagai kerjaya utama.

Tidak kurang juga ada yang menjadikan sebagai kerjaya kedua untuk menambah pendapatan mereka.

Melihatkan seni sebagai sebahagian aspek yang berpotensi mendidik insan, Pusat Kebudayaan USIM mengambil inisiatif dengan menubuhkan Grup USIM Art Prosumer (GUAP) yang berfungsi sebagai kumpulan alumni yang mempunyai bakat dan berkerjaya dalam bidang seni, dan akan bertindak sebagai penggerak dan menjalankan aktiviti prosumer di kalangan masyarakat.

Prosumer merujuk kepada gabungan perkataan producer bermaksud pengeluar dan consumer adalah pengguna.

Prosumer ini dilihat sebagai seseorang yang mengeluarkan produk, menggunakan produk tersebut untuk kegunaan harian dan menjana pendapatan kewangan melalui penjualan produk tersebut.

Dalam konteks GUAP, seni sebagai fokus utama mereka dalam menjalankan aktiviti bersifat mencipta, menghasilkan karya kreatif, inovasi terhadap khidmat profesional seni bagi tujuan menjana pendapatan.

Acara pelancaran Grup USIM Prosumer Art (GUAP) diadakan menerusi program bual bicara Borak Rakyat edisi Prosumer yang berlangsung di Panggung Budaya USIM.

Pengurusan tertinggi universiti dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani sebagai panel utama.

Diikuti Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed dan Pengerusi Penaja GUAP, Muhammad Zarihi Nubhan Abdul Rahman.

Melalui sesi wawancara tersebut, Ismail Ahmed berkata penubuhan GUAP bertindak sebagai konsultan kepada prosumer sedia ada dan konsep prosumerisme ini akan diperluaskan kepada kelab-kelab seni budaya USIM.

“Grup ini akan membimbing kumpulan kesenian di bawah kelab-kelab sebagai bekalan kerjaya apabila mereka menamatkan pengajian di universiti oleh kerana kita sedia maklum bahawa peluang kerjaya sangat terhad dan persaingannya tinggi,” katanya.  

Dalam majlis yang sama, Dr Mohd Rushdan turut melancarkan video rasmi USIM Prosumer Art yang menampilkan 10 alumni seni dan menampilkan watak utama Ikon Seni, Shukri Sahari sebagai salah seorang seorang USIM Art Prosumer.

Shukri Sahari 32, memulakan kerjaya sebagai juruaudit di salah sebuah syarikat swasta dan selepas dua tahun beliau memilih bidang seni sebagai bidang kerjaya utamanya dan kini hampir lima tahun beliau menumpukan secara serius kerjaya sebagai komposer lagu dan penulis lirik.

Video ini diterbitkan bagi menyampaikan mesej kepada pelajar USIM bahawa penglibatan dalam program seni kampus turut mendorong pelajar meningkatkan ilmu dan memperkembangkan bakat serta kemahiran untuk dijadikan sebagai salah satu bidang kerjaya.

Penghasilan video rasmi USIM Art Prosumer juga sebagai salah satu pembudayaan kepada warga kampus USIM dengan tag line “learn more, make more, share more”.

Dr Mohd Rushdan menyifatkan bahawa inisiatif Pusat Kebudayaan USIM adalah langkah tepat dan selari dengan hasrat Naib Canselor USIM untuk melahirkan Prosumer Muslim yang Berdisiplin.

Dalam pada itu, Pengerusi GUAP Muhammad Zarihi Nubhan yang juga merupakan alumni USIM menyifatkan penubuhan GUAP merupakan usaha baik dalam meningkatkan keakraban alumni USIM.

Ismail (kiri) ketika mengulas lanjut berkenaan penubuhan GUAP. Di kanannya adalah Dr Mohd Rushdan yang turut serta pada program Borak Rakyat.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk menyalurkan maklumat berkaitan konsep prosumerism kepada pelajar USIM.

“Kita harus menerangkan secara jelas kepada mereka bahawa kerja seni memerlukan ketinggian ilmu, ketelitian, kualiti penghasilan, teknik sentuhan dan menghormati kepakaran orang lain. Kita harus sedar bahawa potensi setiap individu berbeza dan unsur ini yang kita terapkan supaya mereka yakin dengan bakat yang dimiliki untuk berkongsi dan memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya yang hampir 10 tahun berkecimpung dalam perniagaan seni dan juga seorang pelukis potret serta bergiat aktif sebagai animator.

Konsep prosumerisme ini turut selari dengan aspirasi universiti yang mengalu-alukan alumni kembali dan mengakrabi USIM dengan pelbagai perkongsian yang mampu dinikmati oleh warga kampus.

Borak Rakyat edisi Prosumer disiarkan secara langsung melalui facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM dan dikendalikan oleh Ikon Seni USIM, Ahnaf Bakar berdurasi selama satu jam dan turut dihadiri 10 ahli GUAP secara maya menerusi aplikasi zoom.

Artikel menarik

10 perkara perlu diambil kira di asrama penuh, Cikgu Adham kongsi ini

Sekolah kampung tetapi mampu menang dua anugerah peringkat dunia