Nilai - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kedatangan 84 pelajar baharu bagi pengambilan Semester II Sesi Akademik 2020/2021 yang dijadualkan akan mendaftar pengajian secara dalam talian bermula 15 dan 16 Mac ini.

Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP), Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin berkata, pengambilan ke Semester II adalah alternatif bagi pelajar-pelajar menyambung pengajian ke USIM tanpa menunggu pengambilan melalui saluran UPU yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi ambilan perdana pada Oktober nanti.

"Untuk pengambilan Semester II Sesi Akademik 2020/2021 ini, USIM dijangka menerima 56 pelajar tempatan dan 28 pelajar antarabangsa dari beberapa negara seperti Australia, Arab Saudi, Bangladesh, Brunei, Indonesia, Palestine, Thailand dan Singapura.

"Semua pelajar baharu Semester II Sesi Akademik 2020/2021 yang berkeperluan khas akan mendaftar masuk di Kolej Kediaman 1 pada 18 Mac tertakluk kepada SOP yang ketat dan diwajibkan menjalani proses isolasi.

"Kemudian mereka akan mengikuti Minggu Taaruf secara dalam talian yang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar selama lapan hari bermula 19 Mac hingga 28 Mac. Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi semester ini akan dijalankan secara hibrid sebagai menyokong usaha kerajaan memerangi Covid-19," katanya.

Melihatkan kepada trend penawaran kali ini, USIM berharap agar proses promosi dan jumlah permohonan ke USIM dari kalangan pelajar antarabangsa tidak terjejas sungguhpun pandemik Covid-19 masih belum reda.

"Pihak USIM optimis dalam mengawal mutu dan kualiti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan," katanya lagi.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat seperti Pusat Perumahan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Bendahari, Bahagian Pengurusan Akademik, USIM Alamiyyah, Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan yang banyak membantu sekaligus melancarkan proses pendaftaran pada kali ini.

Artikel menarik

Ini yang pelajar Tingkatan Lima buat selepas berakhirnya SPM, netizen terkejut dan tak percaya

Pelajar SMK Sultan Mansor, Hakim Danish sasar lima terbaik Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup 2021