BAGI mengumpul dana menampung kos pasukan Wind Orchestra MRSM Felda (MAWO) ke Filadelfia International Music Arts Festival  yang berlangsung di Itali pada 26 Mei ini, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Perak menganjurkan MRSM Felda Fun Run 2020 dan Konsert Variasi III.

Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat MRSM Felda Trolak, Nik Mohd Ariff Nik Ab Rahman, berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan MRSM Felda Fun Run 2020 yang akan diadakan pada 28 Mac ini.

"Kami juga menjemput orang ramai ke Konsert Variasi III yang akan diadakan di Menara Felda, Kuala Lumpur pada 19 April.

"Mohon semua pihak menyokong usaha ini supaya anak-anak MRSM yang berbakat besar ini mampu membuat persembahan dalam pertandingan berprestij di peringkat dunia," katanya.

Kata beliau, pertandingan di Itali adalah sebagai batu loncatan untuk pasukan MAWO melayakkan diri menyertai World International Orchestra Competition 2021 yang berlangsung di Kerkrade, Holland.

Seramai 60 pelajar Tingkatan Dua hingga Lima terlibat pada pertandingan di Itali dengan tiga guru pengiring dan seorang jurulatih yang memerlukan kos keseluruhan RM469,000.

"Instrumen yang akan dipersembahkan MAWO terdiri daripada flut, klarinet, seksofon, tuba, trumpet, horn dan perkusi.

"MAWO kini setiap minggu berlatih selama 12 jam bagi memantapkan persembahan," katanya.

Menurut beliau lagi, tiga guru penasihat yang terbabit ialah Cikgu Suhaizal Samsudin, Cikgu Nik Zurina  Mohd [email protected] dan Cikgu Nasyrah Nizaha Baidzawi serta jurulatih, Raja Muzafar Shah Raja Abdullah yang menguruskan MAWO.

Mengimbang kembali titik mula penubuhan MAWO pada 2008 Cikgu Nik Mohd Ariff berkata, penubuhan pasukan itu seiring dengan wujudnya MRSM Felda pada tahun yang sama.

Sejarah MAWO

Pada tahun 2008 hingga 2009, semua aktiviti pembelajaran dan pendidikan berlangsung di kampus sementara MRSM Felda yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Felda Wilayah Utara di bawah kepimpinan pengetua MRSM Felda ketika itu, Saleh Osman diikuti dengan Lokman Annas dan yang terkini, Shalina Mohamed.

"Idea asal penubuhan pasukan ini dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri ketika itu dengan matlamat asal penubuhan pasukan adalah memastikan anak-anak Felda mendapat pendidikan muzik secara profesional.

"Ini sebab, bidang muzik juga merupakan salah satu cabang sains dan teknologi maka, tertubuhlah pasukan ini di MRSM Felda," katanya.

Tambah Cikgu Nik Mohd Ariff lagi, MAWO merupakan salah satu pasukan badan beruniform di MRSM Felda dengan segala alatan dan instrumen muzik dibekalkan pihak Felda.

Pasukan MAWO diketuai kondukter ketika persembahan di Singapore International Band Festival 2018.

Pada awal penubuhannya, pasukan itu merupakan sebuah pancaragam sekolah di mana persembahan dijalankan secara 'outdoor'.

MAWO akan membuat persembahan setiap kali hari kejohanan olahraga peringkat maktab dan Majlis Sukan Sekolah Daerah Batang Padang.

"MAWO juga berpeluang membuat persembahan ketika Majlis Perasmian MRSM Felda oleh Datuk Seri Najib Razak pada 7 Julai 2010.

"Persembahan itu merupakan titik tolak kebangkitan MAWO dan menjadi pembakar semangat untuk terus memberi persembahan yang terbaik di serata dunia," katanya.

Beliau memberitahu, dua tahun kemudian baharulah pasukan pancaragam berkenaan bertukar menjadi sebuah pasukan Wind Orkestra di mana persembahan dijalankan secara 'indoor'.

Banyak kejayaan dikecapi MAWO tahun demi tahun antara yang paling membanggakan ketika dinobat pemenang Anugerah Persembahan Terbaik pada Pertandingan Wind Orkestra Kebangsaan 2013 yang dianjurkan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Selain itu, MAWO beroleh kejayaan di peringkat antarabangsa setelah memenangi Anugerah Pingat Gangsa pada International Band Festival 2018 di Singapura.

"Kini MAWO banyak terlibat dengan persembahan dan konsert. Setiap tahun, pasukan ini akan menganjurkan Konsert Variasari di mana semua pasukan muzik di  MRSM Felda seperti pasukan gamelan dan koir turut terlibat dalam menjayakan konsert tersebut," katanya.

Jelas Cikgu Nik Mohd Ariff, di sebalik kejayaan MAWO faktor utama adalah disebabkan sumbangan yang tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa pelajar yang menubuhkan Parents Booster MAWO diketuai Kapten Azman Mohamad Noor.

"Komuniti ibu bapalah yang bertungkus lumus berusaha mencari dana sentiasa pihak Muafakat MRSM Felda yang sentiasa memberi bantuan dan nasihat pada pasukan MAWO," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyertai MRSM FELDA Fun Run 2020 atau mendapatkan tiket Konsert Variasi III boleh hubungi Izhar (013-2265317) dan Nik Mohd Ariff (0129690098).

Sebarang sumbangan boleh dibuat melalui akaun Maybank 558154504038 atas nama MUAFAKAT MRSM FELDA.

Kejayaan MAWO

1. Persembahan Terbaik Pertandingan Wind Orkestra Kebangsaan UPSI (2013)

2. Anugerah Pingat Emas Pertandingan Wind Orkestra Kebangsaan UPSI (2015, 2017, 2019)

3. Anugerah Pingat Emas Festival Seni Muzik Pulau Pinang peringkat kebangsaan (2017)

4. Anugerah Pingat Perak Festival Seni Muzik Genting peringkat antarabangsa (2017)

5. Anugerah Pingat Perak Festival Band International Singapore (2018)

MAWO ketika membuat persembahan pada Ansara Golf Masters 2020 di SG Long Golf and Country Club pada Januari lalu sempena Majlis Penyampaian Hadiah Golf Masters 2020.

Artikel Menarik:

'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'

'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang

'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar

Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini

'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih