"Jange panggil Timoh.. panggil Fatimah, kalu pangil Timoh.. panggil Fatimah semula."

Inilah dialog dalam salah satu video yang dimuatnaik bapanya di laman Instagram @thefamily.uk sejak pertengahan 2017 lagi hingga dilihat dan dikongsi ratus ribu warganet di seluruh dunia.

Kanak-kanak comel yang petah bertutur dialek Kelantan ini mula mencuri perhatian netizen kerana ramai kagum dengan didikan ibu bapanya.

Walaupun tinggal di kota metropolitan dan dilahiran di Birmingham, England, Fatimah Omar Mukhlis, 4, tidak malu bertutur dalam dialek Kelantan pekat.

Selain petah berbahasa Inggeris, dia juga diajar bertutur dalam bahasa Siam.

Antara video yang berjaya melonjakkan nama anak kedua daripada tiga beradik ini ialah video 'Fatimah Masak Jepuk Pisey' (cekodok pisang), yang paling diminati dan paling lama trending ialah #JangePanggilTimoh & #GAPOEVER dan yang terbaru rakaman dia menenangkan adiknya, Ali menangis.

MULA BERSEKOLAH

Anak kepada pasangan Omar Mukhlis Azizan, 38 dan Nor Ashila Mahamed Ismail, 38, yang hampir 20 tahun menetap di tanah ratu ini kini sudah menginjak alam persekolahan.

GPSBestari berkongsi momen indah Fatimah bersekolah.

Nor Ashila menceritakan, walaupun baharu berusia 4 tahun, Fatimah agak matang. Dirinya banyak mencontohi keperibadian abang sulungnya, Omar Mukhtar, 12 tahun.

“Fatimah seorang yang peramah dan mempunyai ramai kawan di sekolah. Itu bukan kerana dia popular, tapi kerana personaliti dia sendiri. Cikgu di sini tidak pilih kasih dan ini membuatkan murid lain selesa berkawan dengan dia tanpa timbul perasaan dengki antara satu sama lain.

“Apabila Fatimah berkongsi apa-apa berita mengenai pencapaiannya, mereka turut bergembira dan meraikannya. Fatimah selalu bawa keratan akhbar mengenai dia ke sekolah dan cikgu akan tampal dalam kelas untuk dijadikan sumber inspirasi kepada murid lain dan juga sebagai tanda penghargaan cikgunya kepada pencapaian Fatimah supaya Fatimah 'feels more motivated',” katanya.

Nor Ashila bercerita, pada mulanya, melalui komen di media sosial ramai warganet menyatakan kerisauan bila Fatimah mula bersekolah, kata mereka Fatimah lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dan sudah mula melupakan dialek Kelantan.

Namun katanya, dia dan suaminya sedikit pun tidak risau kerana mereka menggunakan dialek Kelantan dalam kehidupan seharian di rumah selain turut berbahasa Inggeris.

“Sama seperti anak sulung kami, Omar Mukhtar, ramai yang tidak tahu yang dia juga fasih berdialek Kelantan. Cuma Omar Mukhtar terpaksa mengekalkan bahasa Inggeris apabila di alam maya supaya semua orang boleh faham termasuk rakan dan cikgunya yang sentiasa mengikuti perkembangan @thefamily.uk.

“Datang daripada keluarga campuran, saya sendiri fasih dalam pelbagai bahasa. Pada pendapat saya, kepelbagaian bahasa adalah satu kelebihan, bukan bahasa Inggeris saja. Sebab itu saya sentiasa galakkan anak belajar banyak bahasa," katanya.

Kata Nor Ashila, dia juga menggalakkan anak-anaknya belajar bahasa Thailand walaupun ayah mereka tidak boleh menguasai bahasa itu.

“Walaupun ayah mereka tidak tahu berbahasa Thailand, saya galakkan anak-anak belajar dengan keluarga saya.. cara saya dan suami lebih kepada relaks iaitu lebih memberi kebebasan pada anak-anak, tidak memaksa sebab kanak-kanak tidak suka dipaksa, makin kita paksa, makin dia tak nak,” katanya yang berdarah Pakistan, Arab dan Thailand.

Menurutnya, dia dan suami tidak pernah menentukan anaknya perlu bercakap bahasa apa di rumah malah mereka tidak kisah anaknya bercakap bahasa rojak asalkan mereka selesa. Dengan cara itu mereka lebih seronok belajar.

Sebagai ibu, Nor Ashila juga kagum dengan Fatimah kerana dia yang paling fasih bertutur dialek Kelantan.

Semangat jati Kelantan dan cintakan dialek Kelantan sangat tinggi dalam diri Fatimah walaupun dilahirkan di England dan belum pernah berpeluang pulang ke Malaysia.

Katanya, kadang-kadang dia sendiri pun terkejut dengan cara Fatimah bercakap, dan yang paling unik Fatimah boleh campur bahasa Inggeris dengan dialek Kelantan di rumah tetapi ketika di sekolah, Fatimah dengan mudahnya dapat bercakap dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dengan lancar.

TIDAK SEDAR RAMAI PEMINAT

Awal Oktober lepas, Fatimah muncul sebagai pemenang bagi anugerah online yang dipertandingkan dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

Si cilik yang bijak ini berjaya menewaskan semua calon lebih dewasa dan menjadi pemenang bagi kategori Personaliti Media Sosial Popular.

Siapa sangka setiap kali video yang berdurasi selama beberapa minit itu berjaya menarik lebih 100,000 tanda suka.

Kongsi Nor Ashila, Fatimah langsung tidak sedar yang dia mempunyai ramai peminat, yang dia tahu dia mempunyai ramai kawan dari seluruh dunia yang menyayanginya dan menyokongnya.

Dia menghargai mereka sehingga dia mengatakan jangan bersedih jika dia tidak memenangi anugerah berkenaan.

Menurutnya, Fatimah juga memberi jaminan kepada kawan-kawannya untuk tidak bimbang, walaupun dia tidak memenangi anugerah, dia masih akan terus memuat naik video untuk rakan-rakannya.

Tambah Nor Ashila lagi, kini, Fatimah telah memenangi anugerah itu dan sangat menghargai mereka yang mengundinya.

“Kami sentiasa mengingatkannya bahawa semua kawannya mengundi untuknya dan kerana itulah dia berjaya memenangi anugerah tersebut.

"Anda pasti tidak dapat bayangkan betapa gembiranya Fatimah apabila mengetahui ramai yang sayangkan dia. Lebih membanggakan, dia sebenarnya tidak kisahpun tentang trofi bagi Fatimah tercalon itu sudah lebih dari cukup. 'Tagline' dia untuk kawan-kawan (peminat)  'I don’t like you...I love U' dan 'Sek kito jange break," katanya.

Fatimah dan Ali sangat rapat dengan abangnya, Mukhtar (tengah).

Fatimah dan Ali  bersama abangnya, Mukhtar (tengah) semasa percutian di Lake District.

Fatimah memperagakan kasut yang dipakai oleh anak-anak Putera Wiliam.

 Fatimah menyaksikan pemandangan indah di Lake District ketika bercuti.

 

Ali, 3 tahun sangat manja dengan Fatimah.

Fatimah kini mempunyai ribuan peminat dari seluruh dunia yang suka akan keletahnya.

Fatimah dan Ali ketika memperagakan pakaian dan aksesori jenama UK.

Perkembangan positif Fatimah sepanjang waktu persekolahannya.

Fatimah banyak mencontohi dan meneladani sikap serta keperibadian abangnya, Mukhtar (duduk, kiri).

Fatimah memakai uniform sekolahnya pada hari pertama persekolahan.

Fatimah dan Ali berasakan mereka adalah kembar.