IPOH – Rata-rata badan bukan kerajaan (NGO) tidak bersetuju tambang bas sekolah dinaikkan kerana ia akan membebankan ibu bapa.

Pengerusi Pertubuhan Pengguna Prihatin Perak, Shaferi Khairuddin menegaskan pengusaha tidak sepatutnya menaikkan tambang bas sekolah di saat rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, pengusaha bas disaran untuk berbincang di bawah persatuan yang boleh memikirkan bagaimana kaedah untuk mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan kerana mereka berpasukan berbanding ibu bapa yang terpaksa menanggung kos sendirian.

“Kerajaan juga perlu memberikan bantuan dalam bentuk subsidi atau lain-lain keperluan kepada pengusaha bas sekolah supaya mereka tidak terbeban jika berlaku sebarang kenaikan kos terutamanya harga minyak,”katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP), Khairil Amri Abdul Rahman berkata, peningkatan kos bahan bakar yang tinggi sepatutnya tidak menjadi faktor untuk kenaikan harga tambang bas sehingga RM10.

Jelasnya, timbang rasa antara pengusaha bas dan ibu bapa perlu ada agar isu kos tambang bas ini tidak menjadi polemik pada masa akan datang.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh berperanan dalam menyelesaikan isu ini sebagai orang tengah antara ibu bapa dan pengusaha bas.

“Saya cadangkan agar semua pihak terlibat berbincang dengan memberi tumpuan kepada harga tambang bas sahaja dengan beberapa pendekatan yang boleh membantu,”katanya.